» » Wartawan dihantar pulang selepas dokumentari Altantuya Al Jazeera


Seorang wartawan Al Jazeera, yang menerbitkan sebuah dokumentari siasatan setengah jam mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu, dihantar pulang ke negaranya oleh pihak berkuasa Malaysia Jun lalu.

Program dokumentari hal ehwal semasa 101 East itu memaparkan bagaimana wartawan Australia Mary Ann Jolley berjalan diiringi beberapa pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

"Saya sedang diiringi lebih kurang 5 orang ejen kastam dan seorang lelaki dalam pakaian tentera, jadi saya sedang dalam perjalanan menaiki penerbangan saya ke Sydney.

"Jelas nampaknya, saya sudah membuatkan orang marah," kata Jolley dalam program itu ketika dia berjalan untuk menaiki penerbangannya.

Satu kenyataan oleh Al Jazeera berkata, Kementerian Dalam Negeri mengusir Jolley pulang kerana perbuatannya mempunyai "kesan negatif kepada imej Malaysia".

Program itu, yang disiarkan Al Jazeera awal hari ini, menyiasat mereka yang terlibat dalam kes Altantuya, termasuk kedua-dua individu yang disabitkan kesalahan, bekas anggota polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.

Ia juga menanyakan soalan sama ada mereka itu merupakan "kambing hitam" untuk melindungi orang lain.

Dalam responsnya, kerajaan Malaysia menafikan sekeras-kerasnya sebarang hubungan antara wanita Mongolia itu dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menafikan dakwaan rasuah dan sogokan di sekitar kes pembunuhan itu, menyifatkannya cubaan pihak lawan untuk memburuk-burukkan beliau.

Pengusiran Jolley itu bagaimanapun, membolehkan beliau mengesan seorang saudara kepada Sirul, yang kini ditahan imigresen Australia di Sydney, yang menceritakan mengenai perbualannya dengan Sirul pada malam pembunuhan Altantuya.

"Saya berkata, 'Adakah kamu tarik picu, maksudnya, kamu betul lakukan?" kata saudara itu.

"Saya berkata kepadanya (Sirul)... kamu ada pilihan, kamu boleh pilih untuk lari jauh dari situasi itu dan biarkan saja. Dia berkata, 'Saya akan mati', kerana apa yang dia tahu."

Putrajaya memberi respons kepada Al Jazeera dengan menafikan sekeras-kerasnya sebarang hubungan antara Altantuya dan Najib.

"Perdana menteri tidak tahu, tidak pernah bertemu, tidak pernah mempunyai sebarang hubungan dengannya dan tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan si mati.

"Kedua-dua individu yang disabitkan bukan pengawal peribadi perdana menteri. Tuduhan itu sengaja mengelirukan, dan digunakan untuk mengekalkan teori konspirasi yang tidak berasas," Al Jazeera memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .