» » Wanita UMNO saman Ku Nan kerana pecat beliau daripada parti


Bekas ahli Umno Anina Saadudin memfailkan saman terhadap Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana memecatnya selepas beliau mengambil tindakan mahkamah ke atas Datuk Seri Najib Razak berhubung "derma" RM2.6 bilion.

Dalam writ yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bekas pemimpin Wanita Umno Langkawi itu memohon perintah supaya 2 surat pemecatan yang dikeluarkan Tengku Adnan diisytihar tidak sah dan tidak mempunyai kesan ke atas keahlian beliau.

Beliau berkata, beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap Tengku Adnan atas dasar tanggungjawab beliau sebagai seorang Melayu yang sayangkan bangsanya.

"Saya bukan anai-anai yang hendak merosakkan parti. Saya hanya hendak mempertahankan Umno daripada dimusnahkan oleh 'KuMan Lapuk' seperti Ku Nan yang bersekongkol dengan Najib dalam membuat salah laku," kata Anina dalam satu kenyataan ringkas, merujuk gelaran kepada Tengku Adnan.

Anina berkata beliau berharap tindakan beliau hari ini akan membuka jalan kepada perubahan dalam Umno supaya ia ditadbirkan untuk orang Melayu dan bukan untuk individu tertentu.

Katanya, ahli Umno perlu dihormati kerana mereka merupakan tulang belakang parti.

Saman itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Haniff Khatri.

Turut dinamakan dalam saman itu ialah Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh.

Peguam Mohammed Haniff Khatri Abdullah berkata, dokumen mahkamah itu akan disampaikan kepada defendan sebaik sahaja salinan tertutup diperoleh.

Tengku Adnan sebelum ini menyerahkan 2 surat bertarikh 1 dan 2 September kepada Anina.

Anina, yang menimbulkan kekecohan bulan lalu apabila mendakwa Najib "kencing" atau menipu 3 juta ahli Umno, sebelum ini memberi Ku Nan 3 hari untuk menarik balik pemecatan beliau.

Ku Nan tidak memberi respons sebelum tarikh akhir itu luput.

Anina dipecat daripada Umno selepas memfailkan saman dua minggu lalu terhadap Najib, meminta beliau bertanggungjawab bagi wang RM2.6 bilion itu.

Wang itu dikatakan sumbangan daripada penderma dari Timur Tengah, yang menurut Najib dan penyokongnya dalam Umno, diamanahkan kepada presiden bagi pihak parti.

Anina dituduh melanggar Perkara 20.7 Perlembagaan Umno kerana membawa hal parti ke mahkamah.

Beliau juga membuat aduan kepada Lembaga Disiplin parti untuk memanggil Najib menjelaskan kontroversi RM2.6 bilion itu.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .