Dihukum penjara setahun kerana rasuah, bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo memohon maaf kepada keluarga, rakan-rakan dan penyokongnya kerana memalukan mereka, tetapi menegaskan beliau tidak bersalah.
Dalam tulisan yang dimuat naik di blog beliau tidak lama selepas Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman, Dr Khir juga berkata beliau memaafkan pemimpin Umno yang mengupah seorang jurufoto menangkap gambar dari atas helikopter untuk membuatkan rumahnya kelihatan seperti “istana”.
Realitinya, katanya, rumah itu bukanlah antara yang paling besar berbanding rumah lain di kawasan itu.
"Saya mohan maaf kepada seluruh keluarga, sahabat, rakan-rakan dan penyokong yang mungkin terpalit malu kerana kes ini.
"Saya juga berterima kasih kepada mereka yang masih memberi kata-kata semangat dan bersimpati dengan saya," tulisnya.
Dr Khir didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Disember 2010 atas tuduhan rasuah melibatkan pembelian 2 lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam.
Beliau dituduh mendapatkan bagi dirinya dan isterinya, Zahrah Kechik, plot tanah dan rumah di No 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui salah seorang daripada pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.
Dr Khir berkata, sepanjang perbicaraan, pihak pendakwa tidak pernah memberikan sebarang keterangan bagi membuktikan wujud unsur rasuah.
Katanya, beliau tidak pernah memberi ganjaran kepada sesiapa dengan projek atau kontrak bagi rumah berkenaan yang dibayar dengan harga RM3.5 juta.
"Secara asasnya, unsur rasuah harus dalam keadaan saya mendapat habuan kerana meluluskan sesuatu kepada Shamsuddin.
"Tidak pernah ada sebarang fakta dan bukti menunjukkan pembelian rumah saya dengan harga RM3.5 juta, yang dikatakan murah oleh pendakwa raya, dibalas dengan sebarang keistimewaan pemberian projek atau kelulusan tender oleh saya.
"Yang ada hanyalah surat sokongan yang diberi kepada syarikat Shamsuddin, seperti mana saya sokong puluhan, malah mungkin ratusan, syarikat lain," tulisnya.
Doktor gigi itu juga berkata, semasa berniat membeli hartanah yang sudah sebahagian dibina itu, beliau memaklumkan kepada perdana menteri, setiausaha kerajaan negeri Selangor dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
"Untuk rekod, saya juga membeli hartanah tersebut dengan pinjaman bank dan meminta penilaian hartanah dilakukan. Sehingga kini saya masih mempunyai baki hutang lebih daripada RM2 juta. Adakah ini menunjukkan saya korup?" katanya.
Menurutnya, perolehan banglo itu akan menjadi rasuah jika Shamsuddin memberikannya secara percuma kepada beliau.
"Demikianlah kesungguhan peguam negara terdahulu mahu memenjarakan saya. Saya tidak pasti rumah saya akan dirampas atau tidak," katanya.
Sementara itu, dalam tulisan sama Dr Khir turut memaklumkan beliau sudah memohon maaf kepada pegawai daerah yang pernah menerima "hadiah" penyapu daripada beliau dahulu.
Beliau juga memohon maaf kepada penganut Hindu yang kuil mereka dirobohkan semasa pentadbirannya, yang pada masa itu katanya, hanya melaksanakan perintah mahkamah.
sumber
No comments: