Waran tangkap terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown tidak boleh dikuatkuasakan di luar Malaysia, kata peguam sambil menambah warga British itu tidak mungkin akan menjejak kaki ke negara ini dalam masa terdekat bagi membolehkan polis menangkapnya.
Mereka berkata, pihak berkuasa Malaysia hanya "bermimpi" dan perbuatan mereka hanya menunjukkan memperbodohkan diri sendiri kerana kesalahan yang beliau didakwa lakukan dan sedang disiasat bukan merupakan satu jenayah di United Kingdom.
Mereka berkata, sebarang cubaan mengekstradisi Rewcastle-Brown dengan bantuan pendakwa raya jabatan peguam negara Britain akan gagal.
Peguam Joshua Teh berkata, waran itu hanya boleh dikuatkuasakan terhadap Rewcastle-Brown jika beliau datang ke Malaysia untuk menyerah diri kepada agensi penyiasat itu.
"Waran tangkap itu tiada nilai di luar Malaysia. Ia diperolehi hanya untuk satu usaha untuk mengaburi mata rakyat Malaysia yang mudah ditipu," katanya kepada The Malaysian Insider.
Teh berkata waran tangkap itu hanya menunjukkan Rewcastle-Brown dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.
"Polis hanya boleh menangkap dan menahannya jika dia di bumi Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang memetik ketua Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohmad Salleh mengatakan polis memperoleh waran tangkap terhadap Rewcastle-Brown dan akan memulakan proses mendapatkan bantuan daripada Interpol dan Aseanapol untuk memudahkan penahanannya.
Mohmad berkata, Rewcastle-Brown, yang berpangkalan di UK, akan disiasat mengikut Seksyen 124B dan 124I Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Mohmad dalam satu kenyataan petang semalam berkata, waran tangkap itu diperolehi daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Rewcastle-Brown dituduh menggunakan maklumat yang didakwa palsu atau diubahsuai dalam pendedahan Sarawak Report mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang diperolehi daripada bekas pengarah PetroSaudi International, Xavier Andre Justo.
Laman web Sarawak Report disekat oleh pengawal selia Internet Malaysia lebih dua minggu lalu kononnya kerana kandungannya mempunyai maklumat palsu yang boleh mengganggu "kestabilan negara".
Peguam Datuk N. Sivananthan berkata, pendakwa British tidak akan menghulurkan sebarang bantuan kepada rakan mereka dari Malaysia untuk mengekstradisi beliau kerana undang-undang United Kingdom tidak menganggap suatu kesalahan tindakan yang menjejaskan demokrasi berparlimen.
"Ia pastinya bukan satu kesalahan di sana. Jadi, soal ekstradisi tidak berbangkit," kata Sivananthan, yang juga seorang peguam Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Peguam S.N. Nair menyifatkan tindakan polis satu usaha mengaburi mata masyarakat Malaysia yang mudah tertipu untuk menunjukkan mereka ada bertindak terhadap warga British itu.
Beliau berkata, Malaysia dan United Kingdom mungkin mempunyai persefahaman untuk mengekstradisi suspek, tetapi kerajaan British tidak mungkin memberi bantuan kerana kesalahan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan itu sesuatu yang asing di sana.
"Pendakwa raya pejabat peguam negara mereka tidak akan melakukan sesuatu yang tidak sah dengan menghantar Rewcastle-Brown ke Malaysia kerana orang awam dan media di sana sedang memerhati," kata Nair, bekas pegawai polis yang pernah mengendalikan kes ekstradisi .
Nair berkata, waran tangkap terhadap Rewcastle-Brown hanya mekanisme permulaan dan Peguam Negara Malaysia perlu mendapatkan kerjasama rakannya di Britain untuk menangkap beliau.
Melihat bukti daripada laporan akhbar, Nair berkata, hampir mustahil permohonan bagi waran tangkap atau perintah ekstradisi itu akan berjaya.
"Tindakan pihak polis ini usaha yang sia-sia dan membazirkan dana awam," katanya.
sumber
No comments: