Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengulangi kenyataan ia masih menyiasat SRC International melibatkan dana RM4 bilion, sambil menekankan yang siasatan itu dan siasatan berkaitan wang RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun perdana menteri merupakan dua perkara yang berbeza.
Dalam satu kenyataan hari ini, agensi anti-rasuah itu juga menegaskan ia tidak menyiasat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), mengatakan siasatan terhadap syarikat pelabur negara itu dijalankan sepenuhnya oleh pihak polis.
"SPRM mahu menekankan SPRM tidak pernah menyatakan kes yang disiasat ini ditutup.
"Sebaliknya, SPRM hanya menyatakan ia bukan dari wang 1MDB," kata suruhanjaya itu merujuk kepada wang dana RM2.6 bilion itu.
Ia juga berkata, sebagai suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa "fear or favour."
"SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan," katanya.
Siasatan SPRM ke atas SRC International ialah berhubung bon RM4 bilion yang diperoleh daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Awal bulan lalu, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan RM50 juta daripada SRC International disalurkan ke unitnya Gandingan Mentari Sdn Bhd, yang menyalurkannya pula kepada unit tanggungjawab korporat sosial 1MDB, Ihsan Perdana Sdn Bhd antara Disember 2014 dan Februari 2015.
Ihsan Perdana, kemudian, didakwa mendeposit RM42 juta ke dalam akaun Najib.
sumber
No comments: