Derma RM2.6 bilion bagi dana politik yang masuk terus ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak menunjukkan beliau tidak percaya kepada mana-mana orang lain dalam Umno, dakwa wakil rakyat DAP, Lim Lip Eng.
Ahli Parlimen Segambut itu berkata, anggota akar umbi Umno sepatutnya bimbang apabila wang untuk parti mereka itu yang dimasukkan terus ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
"Dengan meletakkan wang itu ke dalam akaunnya, beliau sebenarnya tidak mempercayai mana-mana orang lain. Sebab itu dia terpaksa guna akaun sendiri.
"Anggota Umno akar umbi patut risau wang itu didepositkan ke dalam akaun presiden mereka," katanya kepada pemberita di Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.
Lim sebelum itu menyerahkan surat kepada pihak BNM memohon perincian dan penjelasan berkenaan kemasukan wang RM2.6 bilion itu ke dalam akaun Najib.
Dalam surat itu, yang ditandatangani Lim bersama Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong dan anggota DAP Zulhazmi Shariff, mereka menuntut BNM menjelaskan jika urus niaga wang ke dalam akaun Najib itu mematuhi undang-undang berkaitan pergerakan wang yang diragui.
Undang-undang yang dimaksudkan ialah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Mereka turut mendesak BNM menjelaskan status pergerakan wang itu dan jumlah urusniaga serta sumber wang tersebut.
Menurut Zulhazmi, mekanisme anti penggubahan wang haram BNM pasti akan memberikan amaran jika wang dalam jumlah yang begitu besar didepositkan ke dalam mana-mana akaun dalam Malaysia.
Surat tersebut diterima wakil komunikasi korporat Bank Negara, Lee Poh Fong.
sumber
No comments: