Tan Sri Rais Yatim meningatkan semua Umno bahagian tidak menggunakan kaedah kuku besi terhadap timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan mengenepikan mereka dalam menguruskan isu perasmian persidangan yang melibatkan mereka, lapor Utusan Malaysia.
Bekas ahli Majlis Tertinggi parti itu dilaporkan berkata, perkara sedemikian tidak wajar dilakukan sambil menegaskan mereka mempunyai hak sebagai pemimpin tertinggi parti.
"Ini tidak demokratik dan tidak memartabatkan nilai dalam perjuangan. Jangan kita lupa Fasal 3 dalam Perlembagaan Umno berkata, Umno sebagai parti politik berjuang memperhebatkan kepentingan bangsa dan negara.
"Ini dalam perlembagaan. Ia juga menyebut parti ditadbir dengan baik dan adil. Jadi, dalam hal sebegitu, sebaik-baiknya yang dijemput dahulu dibiarkan hadir.
"Takkan pemimpin ini akan mengeluarkan kenyataan yang memecah-belah? Kita dengar apa yang keluar daripada pandangan mereka, kemudian barulah pimpinan membuat analisis," katanya dipetik sebagai berkata kepada akhbar milik Umno itu.
Rais berkata, Umno sebagai parti yang berpengalaman perlu mengambil langkah positif seperti hendak menarik rambut dalam tepung ketika menangani isu sebegitu.
Sebelum ini, beberapa Umno bahagian, antaranya Raub dan Sungai Besar, membatalkan jemputan terhadap Muhyiddin bagi merasmikan persidangan perwakilan masing-masing selepas beliau digugurkan daripada Kabinet 28 Julai lalu.
Umno Bahagian Batu Gajah dan Ipoh Barat juga dikatakan melakukan perkara sama terhadap Shafie.
Pada masa sama, Rais turut mengingatkan, ini bukan kali pertama Umno menghadapi masalah pengguguran pemimpin dalam Kabinet kerana sebelum ini Tan Sri Syed Jaafar Albar, Datuk Seri Harun Idris dan Tan Sri Mohamed Rahmat antara yang pernah mengalami nasib sama.
Katanya, perkara ini turut dialami bekas timbalan perdana menteri seperti Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
sumber
No comments: