Portal berita mungkin perlu berdaftar di bawah cadangan pindaan kepada undang-undang siber sedia ada, lapor The Star hari ini, memetik menteri komunikasi dan multimedia yang baru dilantik.
Datuk Seri Salleh Said Keruak memberitahu akhbar itu dalam satu temubual, cadangan pindaan itu mungkin akan dibentangkan Oktober, pada sidang Parlimen akan datang.
Beliau berkata, kementerian itu melihat kepada beberapa opsyen, termasuk sistem yang digunakan negara jiran, Singapura, dalam membuat cadangan pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu.
“Saya bertemu dengan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengkaji cadangan itu.
“Kami melihat kepada aspek struktur SKMM dan pindaan bagi menangani isu seperti pornografi, judi atas talian dan ancaman militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).
“Ini sedang dilakukan demi kepentingan negara,” beliau dipetik sebagai berkata.
The Star melaporkan, Salleh berkata perubahan itu akan termasuk memberikan SKMM lebih kuasa, termasuk menghalang laman web yang dilihat sebagai ancaman kepada “keselamatan dan kestabilan negara”.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan Putrajaya tidak ada rancangan untuk menyekat media sosial.
“Kita tidak boleh memantau setiap pengguna media sosial. Jika ada aduan dan ada asasnya, kita akan menyiasatnya,” katanya.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pemerintahannya berjanji pada 1999 tidak akan ada penapisan Internet.
Ia salah satu daripada Rang Undang-undang Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC). Dr Mahathir merupakan pengasas pembangunan MSC Malaysia.
Salleh juga menafikan cadangan pindaan itu dibuat susulan liputan luas terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Tidak ada kena mengena. Kita mahu pindaan yang komprehensif. Undang-undang itu diperkenalkan pada 1988 dan sejak itu, ada banyak perkembangan.
“Kita perlu ambil kira semua perkembangan ini. Banyak negara juga meminda undang-undang siber mereka bagi memastikan media sosial tidak menimbulkan masalah.
“Apa yang kita mahu lakukan ialah memperbaiki apa juga pindaan pada persidangan Parlimen akan datang untuk mengukuhkan media sosial kita tetapi pada masa sama, berupaya mengawal situasi,” beliau dipetik sebagai berkata.
Beliau turut berkata Putrajaya tidak ada rancangan untuk menarik balik sekatannya terhadap laman web pemberi maklumat Sarawak Report yang membuat pendedahan mengenai urus niaga 1MDB.
SKMM menutup akses ke Sarawak Report kira-kira 2 minggu lalu, mendakwa laman web itu mengganggu “kestabilan negara”.
sumber
No comments: