» » Perhimpunan Bersih 4 seperti suara undi tak percaya terhadap Najib Razak


Perhimpunan Bersih 4 hujung bulan ini akan menjadi seperti suara undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, kata Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah malam tadi, pada majlis pelancaran kempen ketika skandal kewangan membabitkan perdana menteri sedang hangat.

Katanya, biarpun ia bertujuan memberi tekanan kepada Najib untuk berundur, Bersih 4 yang akan diadakan pada 29 hingga 30 Ogos ini juga akan memberitahu rakyat menukar perdana menteri saja tidak akan mengubah apa-apa jika sistem politik semasa dikekalkan.

"Bersih 4 adalah satu perhimpunan aman selama 34 jam yang buat pertama kali dalam sejarah di Malaysia dan ia suara undi tidak percaya terhadap Najib.

"Harapan Bersih 4 bukan saja mahukan seorang perdana menteri dan kerajaan yang bersih, tetapi kita juga mahu satu sistem politik bersih bagi melahirkan seorang perdana menteri dan kerajaan yang bersih.

"Bersih 4 adalah manifestasi kepada suara rakyat untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap Najib. Ini suara rakyat untuk mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen," katanya pada majlis pelancaran perhimpunan itu di Petaling Jaya malam tadi.

Pelancaran itu turut menyaksikan persembahan lagu, lakaran dan pidato. Sasterawan Negara Datuk A Samad Said membacakan puisi nukilannya bertajuk "Bersih Empat" manakala pihak penganjur memperkenalkan pasukan perubatan, keselamatan dan pemantau yang akan bersiap sedia semasa perhimpunan itu.

Perhimpunan itu akan turut diadakan di ibu kota Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak serta bandar-bandar utama di seluruh dunia.

Acara di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur akan berlangsung selama 34 jam dalam menuntut pembaharuan seperti pilihan raya bersih, sebuah kerajaan yang bebas rasuah, hak untuk membantah, mengukuhkan demokrasi Parlimen dan menyelamatkan ekonomi.

Maria berkata menukar perdana menteri tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah tanpa pembaharuan utama kepada institusi dan sistem politik.

"Jika sistem politik kita tidak berubah, ia tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah biarpun Muhyiddin atau Zahid atau orang lain menggantikan Najib, masalah lain seperti 1MDB dan PKFZ akan berterusan," katanya merujuk kepada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri selepas beliau secara terbuka mempersoalkan Najib berhubung skandal 1MDB. Tempat beliau digantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri dalam rombakan Kabinet pada 28 Julai lalu.

"Jika penggantinya adalah seorang yang degil, kita akan menganjurkan lebih banyak perhimpunan," katanya.

Beliau berkata perhimpunan itu tidak bermaksud untuk menjatuhkan kerajaan, tetapi menolak sistem politik rasuah yang melahirkan lebih ramai pemimpin terpalit dengan skandal rasuah.

Maria berkata, Bersih merasakan rakyat tidak mampu lagi bersuara sehingga terpaksa menganjurkan perhimpunan bagi mengulangi tuntutan kepada Najib untuk menjawab segala persoalan yang dilemparkan terhadapnya.

"Kami sudah memberi Najib masa sehingga 5 Ogos lalu untuk memberikan jawapan. Adakah anda fikir tindakan kami ini tidak masuk akal? Saya tidak fikir begitu," katanya.

Beliau berkata Najib masih belum menjawab dakwaan dana 1MDB yang secara tidak langsung membiayai sebahagian daripada kempen pilihan raya umum beliau pada 2013, selepas syarikat itu membeli aset kuasa yang terlalu mahal daripada Kumpulan Genting.

The Wall Street Journal (WSJ) pada Jun melaporkan Genting didakwa menggunakan sebahagian daripada hasil jualan untuk membuat sumbangan RM35 juta kepada dana politik Najib yang kemudiannya dijadikan projek amal semasa kempen pilihan raya.

Dalam laporan kedua pada 2 Julai lalu, WSJ melaporkan kira-kira AS$700 juta (RM2.67 bilion) disalurkan ke dalam dua akaun peribadi Najib di AmBank di Kuala Lumpur, manakala bahagian terbesar daripada wang itu - AS$681,000,000 - dipindahkan pada Mac 2013, menjelang pilihan raya umum pada Mei tahun itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan dana itu sebenarnya sumbangan derma dari Timur Tengah.

Maria berkata, di sebalik keengganan menjawab tuduhan, Najib memulakan “pembersihan” dengan menyingkirkan pengkritiknya dalam Kabinet dan menukar peguam negara yang sedang menyiasat 1MDB dan pemindahan dana kepada akaun peribadi perdana menteri itu.

Najib juga melumpuhkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang menyiasat 1MDB dengan membawa 4 anggotanya termasuk pengerusi jawatankuasa itu ke dalam Kabinet.

Ini menyebabkan siasatan terpaksa ditangguhkan sehingga Oktober apabila Parlimen memilih ahli jawatankuasa yang baharu sebagai pengganti.

"Ini bermakna Najib tidak berhasrat membenarkan siasatan terhadap 1MDB itu diteruskan," kata Maria.

Maria pada Khamis bertemu dengan pihak polis untuk menerangkan rancangan Bersih tentang perhimpunan tersebut, dan juga mengingatkan pihak berkuasa akan tanggungjawab mereka bagi melancarkan demonstrasi itu dan memastikan keselamatan peserta.

Beliau berkata Bersih, sudah memberikan notis rasmi kepada pihak polis mengenai perhimpunan tersebut, seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Perhimpunan Bersih 2 dan 3 pada 2011 dan 2013 menyaksikan gas pemedih mata digunakan terhadap penunjuk perasaan, tangkapan dibuat dan beberapa petugas media dipukul.

Peserta perhimpunan keempat di Kuala Lumpur sudah dimaklumkan untuk mula berkumpul di 5 lokasi seperti Brickfields, Pasar Seni, Sogo, Masjid Negara dan Dataran Maybank - sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Peserta juga dinasihatkan untuk membawa kelengkapan tidur, khemah dan beberapa keperluan lain untuk perhimpunan tersebut.

Pelbagai aktiviti sudah dirancang, termasuk bengkel pendidikan sivik, debat awam, persembahan kebudayaan dan ucapan daripada pemimpin masyarakat.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim pada Rabu menasihatkan penganjur mengelakkan sentimen hasutan seperti menggalakkan orang ramai menggulingkan kerajaan dengan cara yang menyalahi undang-undang.

Katanya, polis akan campur tangan jika mendapati perhimpunan tersebut bertukar menjadi “perhimpunan menghasut”.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .