» » Minggu ini ialah minggu yang panas dan meriah buat Muhyiddin


Minggu ini boleh dianggap minggu yang meriah bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak dipecat sebagai timbalan perdana menteri kerana beliau akan merasmikan dua mesyuarat perwakilan Umno bahagian yang berdiri kuat menyokongnya tetapi turut ada "spy" Datuk Seri Najib Razak di dalamnya.

Pada jam 3 petang hari ini (Jumaat), timbalan presiden Umno itu akan merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kemaman yang diketuai bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Sepertimana yang dilakukannya sebelum ini, Muhyiddin yang baru dipecat daripada kerajaan kira-kira dua minggu lalu, dijangka akan menggunakan plaftform ini untuk menyentuh perlbagai perkara mengenai politik semasa seperti 1MDB, wang RM2.6b, penyiasatan SPRM, Bank Negara, masa depan Umno, kejatuhan ringgit serta banyak lagi isu yang sedang berlaku dalam negara.

Berdasarkan mood semasa ahli Umno di seluruh negara yang memperlihatkan semacam ada trend untuk memberi teguran terbuka kepada Umno dan pimpinannya, tidak mustahil Muhyiddin juga turut lebih kritikal sikapnya di Kemaman ini.

Lebih-lebih lagi kerana Ahmad Said yang mengetuai Umno Bahagian Kemaman, memang diketahui tidak sebulu dan "masih geram" dengan Najib sejak beliau digugurkan sebagai menteri besar Terengganu lebih setahun yang lalu.

Beliau bukan saja marah kerana digugurkan daripada jawatannya hanya beberapa hari menjelang majlis perkahwinan anak perempuannya, malah dalam ucapannya di DUN Terengganu, Ahmad Said turut mendakwa Najib mahu mencagarkan telaga minyak di negeri itu dan kerana cadangan itu ditolaknya, ia menyebabkan kemarahan perdana menteri yang kemudian menjadi antara sebab penggugurannya.

Pada hari Muhyiddin dipecat pada 28 Julai lalu, Ahmad Said adalah antara pemimpin Umno yang hadir memberi sokongan moral kepadanya dengan turut sama membawa penyokongnya seramai kira-kira 40 orang yang didatangkan dengan sebuah bas ke rumah bekas timbalan perdana menteri itu.

Disebabkan kerana sama-sama menjadi mangsa pemecatan Najib, tidaklah mengejutkan kiranya ucapan Ahmad Said dalam mesyuarat perwakilan kali ini akan "panas" dengan pelbagai kritikan, serangan atau pun pendedahan yang mengejutkan.

Jika ucapan bekas menteri besar itu "panas", maka tidak mustahil Muhyiddin yang berucap selepasnya turut terpercik kepanasannya, lalu terzahir kata-kata bernada "panas" juga.

Yang menariknya, timbalan ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta dianggap pro kepada Najib akan turut hadir dan duduk di pentas utama bersama-sama Muhyiddin dan Ahmad Said ketika majlis perasmian itu nanti.

Jika Ahmad Said dan Muhyiddin bakal memeriahkan para perwakilan Umno Kemaman dengan ucapan "panas" mereka, Shabery Cheek pula tentu saja akan "panas telinga" mendengarnya.

Begitu istimewanya mesyuarat perwakilan Umno Kemaman yang mempertemukan Muhyiddin dan Ahmad Said kali ini sehingga dikhabarkan ia bukan saja menjadi tumpuan semua media, tetapi juga daripada ahli Umno seluruh negara.

Pada hari Ahad pula, juga pada jam 3 petang, Muhyiddin akan merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Pontian yang diketuai Datuk Hasni Mohammad, seorang ahli Exco Kerajaan Negeri Johor.

Hasni memang dikenali sebagai penyokong setia Muhyiddin sejak dulu dan vokalnya makin nyata sejak Muhyiddin dipecat, tetapi timbalan ketua Umno Bahagian Pontian disandang Datuk Ahmad Maslan yang juga timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Baru-baru ini Muhyiddin dan Ahmad Maslan berbalah mengenai tafsiran "jika esok pilihan raya" sehingga ketidakfahaman ketua Penerangan Umno itu mengenainya dianggap timbalan presiden Umno amat menjengkelkan dan layak dikategorikan sebagai lawak antarabangsa.

Sama seperti Shabery Cheek di Kemaman, Ahmad Maslan yang dikenali sebagai "totok Najib" juga dijangka akan "panas telinga" mendengar pelbagai bebelan Muhyiddin dalam ucapan perasmian di Pontian itu nanti.

Berucap di dua bahagian yang menyokongnya dengan kuat pada Jumaat dan Ahad ini, Muhyiddin tentu saja meriah dengan pelbagai idea, kritikan dan mungkin serangan terhadap Najib dan Umno. Ia juga merupakan pentas terbaik bagi Muhyiddin untuk menonjolkan dirinya dengan kewibawaan, sambil menarik simpati ramai terhadap pemecatannya.

Tetapi bagi Shabery Cheek dan Ahmad Maslan, mereka bukan saja perlu menadah telinga mendengar ucapan Muhyiddin yang mungkin terus membahang terhadap perdana menteri, tetapi juga kerana mempunyai tanggungjawab menyampaikan apa yang diucapkan timbalan presiden Umno itu sedetail mungkin kepada "bos" Najib kemudiannya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .