» » Kebangkitan wartawan UTUSAN MALAYSIA yang tentang Najib Razak secara terbuka


Walaupun dalam keadaan tertekan, tetapi wartawan-wartawan yang percaya kepada kebenaran, menilai harga diri dan prinsip, tetap bangun untuk bersuara berani tanpa mengambil kira bahaya kepada masa depannya.

Demikianlah sejarah berulang di Utusan Melayu yang menyimpan identiti kukuh sebagai akhbar perjuangan seperti yang disebutkan William R. Roff dalam bukunya (Nasionalisme Melayu terjemahan ke Bahasa Melayu Ahmad Boestamam).

Utusan sekarang sedang berhempas pulas berjuang untuk mempertahankan perdana menteri, Datuk Seri Najib, tetapi dalam pada itu, ketua Pengarangnya yang bijaksana, tidak dapat menahan kebangkitan dari dalam akhbar itu yang mendedahkan perasaan sebenar di sebalik sokongan yang diperbesarkan.

Mereka mestilah bersedia untuk menanggung akibatnya.

Pekara yang sama berlaku dalam era Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak,Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melihat kebangkitan wartawan-wartawan berani yang sanggup berkorban.

Di era Pak Lah, pemimpin-pemimpin Umno takut untuk dilihat bersama dengan Dr Mahathir yang tidak mahu Pak Lah, tetapi sekeping gambar yang tersiar di Utusan Malaysia yang menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yasin bersama Dr Mahathir di rumah setiausaha Kerja Umno, Raof memecahkan ketakutan ini.

Ini adalah sejarah berulang Utusan Melayu yang hanya silih berganti, pelakunya dari sejak lebih 50 tahun lalu.

Terbaru Utusan menggunakan gambar pertemuan mesra bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin dengan timbalan perdana menteri baru Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Johor yang menyebabkan beberapa bahagian Umno menarik balik rancangan mereka untuk membatalkan jemputan kepada Muhyiddin bagi merasmikan mesyuarat bahagian masing-masing.

Di bidang kewartawanan, pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussein menggemparkan kalangan penyokong Najib di ruangan tetapnya di Mingguan Malaysia dengan menolak wang RM2.6 billion yang dimasukan ke dalam akaun Najib sebagai wang Umno.

Beliau berpendapat wang itu merupakan simpanan peribadi dengan alasan, sekiranya kepunyaan Umno tentulah di ketahui lain-lain pemimpin penting Umno dan tidak hanya Najib seorang.

Kata Ku Seman "bila didedahkan sebagai wang Umno, maka orang Umno memikul biawak hidup."

Apakah akibat kepada Ku Seman dari tulisannya yang dibantah keras panglima-panglima barisan hadapan tentera penyerang Najib, di antaranya ketua Pengarah Jasa, Datuk Dr Puad Zarkashi dan menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Salleh Said Keruak. Mereka dan laskar-laskar lain dari Jabatan Perdana Menteri tentulah menalefon ketua Pengarang Utusan Malaysia berkali-kali.

Setakat ini belum diketahui lagi nasib Ku Seman, namun heboh mengatakan beliau dipecat tetapi sumber saya mengatakan tidak.

Kebangkitan dari dalam ini juga disertai beberapa orang anggota kanan Jabatan Pengarang Utusan Melayu lainnya dan ramai lagi yang sedang memendam rasa pastinya akan turut bersuara sama ada dari dalam atau dari luar.

Setakat ini yang bersuara secara sinis, ialah penulis Kolum Cuit Cuit yang terkenal, Datuk Zaini Hassan yang juga ketua kepada persatuan bekas-bekas pelajar UiTM yang mempunyai ribuan anggota. Seorang lagi pengarang Kanan yang juga kolumnis terkemuka Utusan Zulkfili Bakar.

Di bawah ini adalah petikan dari Blog Ku Seman Ku Hussein www.kayangdailypost.blogspot.com.

Tersiar di Utusan Malaysia, dua orang kuat perdana menteri Najib, ketua Pengarah Jasa, Puad dan menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh "menjawab" tulisan saya dalam Mingguan Malaysia semalam mengenai derma RM2.6 bilion.

Bagaimanapun kedua-dua panglima ini sama sekali tidak menyentuh isu yang saya bangkitkan iaitu derma RM2.6 bilion itu bukan milik Umno, hujah saya seluruh kepimpinan tertinggi termasuk bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin tidak tahu tentang kewujudan derma itu.

Jadi, secara logiknya apabila orang penting Umno tidak tahu mereka tidak layak mengaku derma yang banyak itu milik mereka melainkan mereka bersedia memikul biawak hidup. Sekarang Umno memikul liabiliti Najib yang akibatnya boleh meruntuhkan keyakinan rakyat termasuk ahli Umno kepada Umno.

Yang ini tidak dijawab sebaliknya mereka spin tulisan saya seolah-olah saya menuduh derma itu sebagai rasuah. Maka mereka pun berkata, SPRM sudah mengesahkan derma itu bukan rasuah. Kenapa mereka menjawab suatu yang saya tidak mempersoalkan?

Kedua-dua panglima ini menjawab seolah-olah saya mempertikaikan status derma itu. Mereka ini kaki spin, sebab itulah cybertrooper yang diketuai Puad hanya layak dibaca pengampu-pengampu Umno sahaja. Cuba cari dalam tulisan saya adakah ayat yang membawa maksud saya mempertikaikan derma itu sebagai rasuah? Saya hanya mengatakan derma itu sebagai hak peribadi.

Puad juga mahu mengajar saya menulis. Dia berkata sepatutnya saya tanya adakah dana politik salah di sisi undang-undang. Apakah Najib mencuri duit 1MDB dan apakah salah akaun peribadi digunakan untuk menerima derma.

Untuk pengetahuan Fuad, saya sangat faham, dana politik tidak salah di sisi undang-undang. Sebab itu saya tidak membangkitkan isu dana politik. Saya juga tidak kata Najib mencuri duit 1MDB kerana belum terbukti dan tidak mungkin dapat dibuktikan. Saya juga tidak membangkitkan kesalahan menggunakan akaun peribadi untuk menerima derma kerana memang tidak salah.

Yang saya bangkitkan adalah derma itu kepunyaan Najib. Kalau dana politik Umno, sudah tentu Umno tahu sejak awal lagi. Sebenarnya jawapan kedua-dua panglima Najib ini membuatkan rakyat melihat pemimpin kanan Umno dilihat terlalu dungu hingga tidak tahu apa yang ada dalam akaun parti. Derma disalurkan dalam akaun peribadi memang tidak salah, sebab itulah saya tidak membangkitkannya.

Mereka berdua juga tidak menjawab pertanyaan saya, kenapa sebaik sahaja selepas The Wall Street Journal mendedahkan ada transaksi RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib, ada pemimpin Umno berkata itu dana politik? Kenapa masing-masing diam termasuk Puad dan Salleh yang sekarang beriya-iya spin rakyat itu dana politik? Janganlah menyembunyikan suatu yang tidak cerdik dengan tindakan yang tidak cerdik.

Sepatutnya mereka menjawab soalan cepu emas anak menteri besar Johor dulu sebelum menjawab tulisan saya. Sebenarnya apabila membaca kenyataan mereka di Utusan Malaysia hari ini yang cuba memperendahkan hujah saya, tiba-tiba saya hilang hormat kepada mereka.

Mereka cuba menonjolkan diri sebagai pembela Najib tetapi pada masa yang sama tidak mempunyai kecerdikan yang tinggi. Maka akhirnya Fuad dan Salleh hanya boleh disamakan dengan juak-juak Umno yang disihirkan supaya menjadi tukang angguk. Sama ada mereka mahu menjadi pembela buta dan tuli, itu soal mereka tetapi jangan menggunakan kuasa untuk menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang betul.

Saya mencabar sama ada Salleh (menteri RTM) atau Puad supaya mengatur debat dengan saya mengenai isu fundamental derma RM2.6 bilion yang saya anggap bukan kepunyaan Umno ini. Kalau disiarkan secara langsung di RTM lagi bagus supaya mereka lebih kelihatan sebagai pembela Najib. Saya sanggup untuk berdebat satu lawan dua dengan Salleh dan Puad.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .