» » Malaysia jadi seteruk hari ini kerana pemimpin yang tidak amanah


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri, yang digantikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sewaktu pengumuman Kabinet baharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kebanyakan rakyat tidak berpuas hati di atas keputusan ini kerana pengguguran Muhyiddin adalah disebabkan kritikan beliau terhadap perdana menteri berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Boleh, sememangnya ia boleh berlaku. Perdana menteri mempunyai kuasa untuk melantik siapa yang beliau suka, dan memecat siapa yang tidak disukai. Malahan, bekas menteri yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan tuduhan rasuah juga dilantik semula menjadi menteri. Anda hairan?

Jangan hairan, kita berada di Malaysia, negara serba boleh. Apa-apa pun boleh.

Menteri merupakan pemimpin yang fungsinya adalah memimpin sesebuah kementerian dan menjaga kepentingan rakyat. Sepatutnya menteri yang dilantik mestilah seorang pemimpin berkaliber, berdedikasi, amanah, bersih daripada sebarang tuduhan dan mampu memikul tanggungjawab.

Sepatutnya tidak layak melantik seseorang yang pernah dikaitkan dengan tuduhan rasuah. Bagaimana pemimpin ingin memimpin rakyat sekiranya pemimpin sendiri tidak amanah dan jujur, seperti ketam mengajar anaknya berjalan.

Sepatutnya menteri menjadi contoh kepada rakyat. Sekiranya menteri pun terlibat dengan salah laku rasuah dan pecah amanah, bagaimana mereka hendak menjadi model dan contoh kepada rakyat?

Sejak kebelakangan ini, banyak menteri mengeluarkan kenyataan yang merepek, lawak dan boleh diklasifikasikan sebagai kenyataan bodoh. Adakah menteri-menteri ini tidak berfikir dan mengkaji dahulu sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan? Anda hairan?

Jangan hairan, kita berada di Malaysia, negara serba boleh. Apa-apa pun boleh.

Kadang-kadang penulis berfikir, adakah negara kita kekurangan pemimpin yang berkaliber? Tepuk dada, tanya selera.

Realitinya, bidang kuasa polis Malaysia diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri. Apa yang menarik, menteri dalam negeri dilantik menjadi timbalan perdana menteri. Anda nampak hubung kaitnya di situ? Sudah pasti keputusan Najib melantik Zahid adalah satu keputusan bijak.

Rombakan Kabinet baru-baru ini menyaksikan sekali lagi perpecahan Kementerian Pendidikan kepada 2 kementerian berbeza, iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sebelum ini kementerian ini berpecah 2 sewaktu zaman Tun Abdullah Badawi. Bagaimanapun, pada 2013 selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kementerian ini bergabung semula oleh Najib. Maka banyak wang terpaksa dihabiskan untuk menukar logo dan juga kos-kos lain.

Bayangkan di Malaysia terdapat puluhan ribu sekolah, universiti dan institusi pendidikan yang terpaksa mengeluarkan kos untuk menukar logo. Sudah pasti jutaan ringgit dihabiskan untuk menukar logo sahaja.

Setelah 2 tahun, sekali lagi Kementerian Pendidikan berpecah kembali. Bayangkan berapa juta lagi duit akan dihabiskan untuk menukar logo dan perkara-perkara lain. Kadang-kadang penulis hairan, adakah pihak kerajaan tidak melakukan kajian sebelum menggabungkan 2 kementerian ini? Baru 2 tahun sahaja, terpaksa dipecahkan kembali. Apakah rasional di atas keputusan ini? Anda hairan?

Jangan hairan, kita berada di Malaysia, negara serba boleh. Apa-apa pun boleh.

Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Mahdzir Khalid di atas pelantikan beliau sebagai menteri pendidikan. Antara kenyataan awal beliau sebaik dilantik adalah mengkaji bebanan tugas guru. Penulis merupakan bekas guru.

Jika ditanya kepada guru, isu bebanan tugas guru ini merupakan isu lapuk. Sudah berbelas-belas menteri pendidikan sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang sama iaitu ingin mengkaji bebanan tugas guru. Tetapi sehingga kini bebanan tugas guru masih sama, malahan semakin berat. Apakah hasil kajian yang dilakukan oleh menteri pendidikan selama ini?

Mengapa bebanan guru semakin bertambah dari sehari ke sehari. Sering kali kita lihat menteri pendidikan membuat kunjungan rasmi ke sekolah-sekolah di luar negara, terutamanya di Australia dan United Kingdom. Tujuan lawatan tersebut adalah untuk melihat sendiri sistem pendidikan dan suasana sekolah di negara-negara tersebut untuk diaplikasikan di Malaysia.

Tetapi kenapa sistem pendidikan kita masih sama. Katanya ingin mencontohi sistem pendidikan dan sekolah mereka, tetapi sama sahaja. Bebanan guru tetap bertambah.

Penulis sendiri pernah mengajar dan melawat beberapa sekolah di United Kingdom. Suasana sekolah di sini sangat berbeza seperti di Malaysia. Guru-guru di sana sangat seronok dengan pekerjaan mereka. Mereka tidak dibebankan dengan pelbagai tugas seperti guru-guru di Malaysia.

Sebab itu penulis hairan, sudah banyak kali lawatan dibuat oleh menteri pendidikan ke sekolah-sekolah di United Kingdom dan Australia, tetapi malangnya tiada perubahan pada sistem persekolahan dan bebanan tugas guru masih sama.

Bukankah pihak kerajaan ada melantik konsultan pendidikan dari luar negara yang melibatkan kos yang mahal untuk merancang sistem pendidikan Malaysia? Tetapi kenapa hasilnya masih sama. Laporan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) dan PISA (Programme for International Student Assessment) membuktikan Malaysia masih berada di kedudukan corot berbanding negara-negara lain.

Berapa banyak duit lagi perlu dihabiskan? Anda hairan?

Jangan hairan, kita berada di Malaysia, negara serba boleh. Apa-apa pun boleh.

Sebenarnya, banyak lagi isu-isu yang membuktikan Malaysia sebuah negara serba boleh. Walaupun nampak mustahil untuk berlaku, tetapi semuanya boleh berlaku di negara kita.

Penulis merasa kecewa dengan situasi yang berlaku di Malaysia sekarang. Sejak 2 tahun kebelakangan ini, keadaan di Malaysia nampak semakin tenat dan menyedihkan, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. Pada 2008, sewaktu penulis tiba di United Kingdom buat kali pertama. Apabila memperkenalkan diri, I’m from Malaysia, antara respons yang diberikan oleh orang di sana:

It’s a very nice country...
Twin towers...
Dr Mahathir...
Great Leadership...
The best Islamic country in the world...


Selepas 7 tahun, sekali lagi penulis berpeluang ke United Kingdom pada tahun ini. Apabila memperkenalkan diri, I’m from Malaysia, antara respons mereka:

Poor Malaysia...
Missing plane...
MH370...
MH17...
Corruption...
Bad leadership...


Sedih, itulah perasaan penulis sekarang. Penulis rindu pada negara Malaysia yang dahulu, di mana rakyat sayang pada pemimpinnya. Jika dilihat pada situasi sekarang, majoriti rakyat benci dan marah pada pemimpin.

Penulis hanya mampu berdoa agar Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada pemimpin dan rakyat Malaysia. Semoga Allah membangkitkan yang benar, dan menjatuhkan yang salah.

Seperti kata pepatah Melayu, "bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru". Suatu hari nanti ia pasti terbongkar.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .