» » PAC dah macam tunggul kayu dalam siasatan skandal 1MDB


Speaker Dewan Rakyat dituntut menjelaskan secara terperinci tentang penangguhan prosiding oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) daripada pembangkang mendakwa sehingga hari ini Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak pernah menemui mereka bagi menjelaskan tentang penangguhan prosiding.

Malah, PAC hanya diberitahu mengenai penangguhan itu melalui surat oleh Setiausaha PAC.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar mempersoalkan penangguhan prosiding tersebut kerana keputusan berhubung perkara itu sepatutnya diputuskan dalam mesyuarat PAC dengan persetujuan jawatankuasa.

"Bukan sesiapa yang memutuskan kecuali jawatankuasa PAC sendiri. Perkara itu jelas dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Parlimen.

"Tidak pernah selama ini prosiding PAC ditunda kerana mengikut peraturan prosiding boleh dijalankan dengan syarat terdapat tiga daripada 13 anggota PAC yang hadir," katanya di sini.


Kamaruddin bersama empat anggota PAC daripada pembangkang hadir di Parlimen pukul 10 pagi ini bagi menghadiri prosiding 1MDB.

Mengikut jadual, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Halmi akan hadir bagi prosiding berkenaan bagi siasatan Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB.

Bagaimanapun, bilik prosiding di Blok B, Tingkat Dua, bangunan sementara yang menempatkan pejabat PAC ditutup.

MalaysiaGazette difahamkan bilik itu biasanya akan dibuka oleh seorang kerani pada pukul 9 pagi jika ada prosiding berlangsung.

Sehingga pukul 10 pagi tadi, bilik berkenaan masih berkunci dan tidak ada kakitangan yang membukanya meskipun kehadiran lima anggota PAC daripada pembangkang di luar bilik berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, beliau mengetahui penangguhan prosiding 1MDB melalui media sahaja, sebelum mendapat surat daripada Setiausaha PAC.

"Siapa Setiausaha PAC untuk memaklumkan penangguhan prosiding, kalaulah ia daripada arahan Speaker, maklumkan klausa mana yang speaker ada kuasa batalkan mesyuarat PAC," katanya.

Tony menambah, Speaker sepatutnya perlu ada rasa hormat untuk memaklumkan kepada PAC sebelum membuat penangguhan dan tindakan Pandikar itu seolah-olah PAC tidak mempunyai apa-apa," tambah beliau sambil memberitahu tidak pernah prosiding PAC ditangguhkan seperti yang berlaku pada hari ini.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .