» » Adakah Najib Razak lebih tinggi daripada undang-undang di Malaysia sehingga tidak boleh disentuh ?


Lawyers for Liberty melihat dengan kebimbangan temu ramah Datuk Abdul Rahman Dahlan, pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional di dalam The Star Online, “Swimming against the tide to get to the truth”, 16 Ogos, 2015, yang menimbulkan beberapa perkara kontroversial berkaitan skandal 1MDB.

Khususnya, apabila beliau berkata terdapat satu percubaan untuk "menjenayahkan" perdana menteri melalui draf kertas pertuduhan (yang mungkin atau mungkin tidak sahih atau mematuhi proses yang biasa) dan disebabkan itu mereka terpaksa "mengambil beberapa langkah awal supaya ia tidak berlaku."

Dengan berbuat demikian, beliau menjustifikasikan penyingkiran Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara, pembubaran Badan Bertindak 1MDB dan juga penangkapan, penahanan dan pemindahan pegawai-pegawai SPRM yang pada masa itu terlibat dalam siasatan tersebut.

Ini adalah amat mengejutkan dan mengaibkan kerana beliau seolah-olah mengatakan perdana menteri tidak boleh atau tidak patut disiasat kerana siasatan tersebut adalah “menjenayahkan” perdana menteri atau pun “menjatuhkan kerajaan.”

Ini juga jelas keterlaluan, satu kenyataan luar biasa yang tidak boleh diambil serius. 

Tidak ada sesiapa pun yang mengatasi undang-undang termasuklah perdana menteri dan apa-apa siasatan terhadap beliau tidak harus disalahtafsirkan kepada orang awam sebagai "menjenayahkan" perdana menteri atau “menjatuhkan kerajaan.”

Apabila mana-mana agensi penguatkuasaan memulakan penyiasatan, tujuannya adalah untuk sentiasa membina kes dengan mengumpul bukti dan dalam proses itu, suspek boleh "dijenayahkan" dan didakwa. 

Adalah lebih tidak masuk akal untuk agensi penguatkuasaan tidak "menjenayahkan" suspek dalam mana-mana siasatan (dengan syarat terdapat bukti yang mencukupi) kerana itu akan mensia siakan siasatan tersebut.

Apa yang lebih mengejutkan dan mengaibkan adalah pengakuan beliau terhadap "langkah awal" yang diambil – jelas merupakan antara lainnya, secara prima facie kesalahan menghalang di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan dan / atau seksyen 48 Akta SPRM.


Daripada melindungi perdana menteri dengan apa jua cara, kerajaan perlu berlaku jujur dengan mengeluarkan dokumentasi sokongan dan menjelaskan dengan sebaiknya berkenaan RM2.6 billion yang didepositkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri dan bukannya membenarkan perdana menteri dan menteri-menterinya untuk membuat kenyataan ganjil satu demi satu.

Salah satu penanda aras yang paling jelas akan sesebuah negara bertamadun dan progresif adalah kedaulatan undang-undang, iaitu sebuah negara yang ditadbir undang-undang dan bukannya keputusan arbitrari individu di dalam kerajaan. 

Juga setiap warganegara adalah tertakluk kepada undang-undang, termasuk mereka dalam kerajaan.

Walau bagaimanapun, tingkah laku keterlaluan dan liar kerajaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini meninggalkan tanda tanya yang besar terhadap kedaulatan undang-undang di Malaysia. 

Keputusan arbitrari dibuat tanpa mengambil kira undang-undang dan proses yang sewajarnya, dan disebabkan itu, negara kita sudah tentu jatuh ke lembah keruntuhan sebagai sebuah negara yang gagal tanpa kedaulatan undang-undang.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .