Penarafan negara tidak akan benar-benar bertambah baik sehingga dan hanya jika Putrajaya serius memerangi rasuah serta pembaziran, kata PKR hari ini selepas Fitch kekal meletakkan kredit Malaysia pada A-.
Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen berkata, dalam tempoh itu pembangkang akan terus memantau dan memerangi rasuah, dengan kontroversi terbaru membabitkan pembelian terlebih mahal hartanah di Melbourne oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan skandal kewangan syarikat kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
“Kes seperti yang terkini hartanah Mara di Australia dan kewangan antarabangsa 1MDB terus menjadi masalah dalam ekonomi dan pentadbiran negara secara keseluruhannya,” kata Wong dalam satu kenyataan, hari ini.
Wong berkata, memandangkan peranan utama Fitch adalah untuk melihat keupayaan peminjam untuk menyelesaikan pinjamannya, penilaiannya bukan sokongan kepada pemerintahan baik oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sebaliknya, beliau berkata Fitch berkata kedudukan fiskal Malaysia terus lemah. Katanya, penilaian itu bukan ‘ucapan tahniah’ untuk Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Kos pinjaman kekal pada A-, dengan penambahbaikan kecil pada ramalan daripada negatif kepada stabil.
“Dalam kata lain, kerajaan Umno-BN secara berkesan mengelak hutang, tetapi ia masih jauh untuk pulih daripadanya,” katanya.
Beliau berkata, akhirnya ia sebenarnya tambahan RM15 bilion dalam cukai tahunan yang perlu dikumpulkan menerusi pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang asasnya menyelamatkan Putrajaya daripada terus menjunam.
“GST asasnya menyelamatkan kerajaan Umno-BN daripada ancaman penurunan tetapi ia ditanggung sepenuhnya oleh rakyat.
“Rakyat yang memberikan lebihan RM15 bilion untuk membayar hutang melambak yang dibuat kerajaan,” katanya.
Fitch berkata, kewangan fiskal Malaysia ada peningkatan dan perkembangan pandangan terhadap GST dan rasionalisasi subsidi minyak menyokong kepada kewangan fiskal itu.
Bagaimanapun, Wong berkata subsidi minyak berakhir bukan disebabkan tindakan kerajaan saja, tetapi kesan kejatuhan harga minyak mentah.
sumber
No comments: