Majikan dijangka akan lebih mudah mengambil dan memecat pekerja di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), apabila undang-undang berkaitan dipinda, yang akan menggembirakan komuniti perniagaan tetapi menggerunkan kalangan kesatuan kerana ia melemahkan keupayaan pekerja untuk tawar menawar dengan majikan mereka.
Menurut Bab 5 RMK11 bertajuk "Meningkatkan modal insan untuk negara maju", undang-undang akan dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan pasaran buruh.
Teks RMK11 jelas menyatakan pindaan akan dibuat terhadap Akta Pekerjaan 1955, Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, undang-undang yang mentadbir hubungan pekerja-pembayar gaji selama lebih 5 dekad.
Laporan itu menyatakan pindaan kepada undang-undang perhubungan buruh akan “menangani ketegaran proses pemecatan sedia ada” dan “menyelesaikan pertindihan dan percanggahan peruntukan serta meningkatkan fleksibiliti waktu bekerja dan pendaftaran keahlian kesatuan sekerja”.
Walaupun Kementerian Sumber Manusia yang ditugaskan meminda undang-undang itu masih belum mengumumkan secara spesifik pindaan yang akan dibuat, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) memberi beberapa tanda berhubung apa yang mampu mereka kawal.
Senarai hasrat MEF
Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan berkata sebelum RMK11 dimuktamadkan, persekutuan itu menghantar kertas cadangan kepada Unit Perancang Ekonomi mengenai harapan majikan dalam rancangan itu.
Ahli MEF terdiri daripada kira-kira 5,000 syarikat dan 22 persatuan perdagangan.
Antara lain, ia mencadangkan pekerja perlu dibenarkan mengheret majikan ke mahkamah jika pemecatan mereka tidak berkait dengan salah laku.
Pemecatan seumpama itu termasuk dibuang kerja kerana pemberhentian syarikat, atau jika operasi perniagaan terhenti dan pemecatan kerana skim pemisahan sukarela atau bersama (VSS dan MSS).
“Jika syarikat menghentikan operasi, di mana salah lakunya? Pekerja yang diberhentikan perlu menerima faedah pemecatan dan teruskan hidup.
“Sekarang, kami ada banyak kes di mana pekerja yang menerima VSS dan kemudian mendakwa syarikat itu ke mahkamah,” kata Shamsuddin ketika dihubungi.
Beliau berkata, undang-undang sekarang, di mana pekerja boleh dakwa majikan di mahkamah atas apa juga bentuk pemecatan, menjejaskan keyakinan pelabur dalam negara.
“Kami perlukan undang-undang yang membolehkan majikan menyesuaikan keadaan, supaya perniagaan boleh meneruskan kelangsungan dan kekal berdaya maju,” katanya.
MEF juga mahu proses penyelesaian kes di Mahkamah Industri dipercepat dan jumlah pampasan yang diberikan mahkamah kepada pekerja dikurangkan.
“Kami berpendapat kes patut selesai dalam tempoh setahun kerana lebih lama ia berlangsung, lebih sukar mengemukakan saksi,” kata Shamsuddin.
Pada masa ini, Mahkamah Industri menganugerahkan maksimum 24 bulan bayaran semula gaji kepada pekerja yang menang kes, tetapi MEF mahu ia dikurangkan kepada 12 bulan.
Tidak sukarela
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, N. Gopal Kishnam (gambar, kanan) berkata kesatuan sudah pun berdepan dengan perubahan dalam undang-undang berkenaan, yang dibimbangi akan melemahkan keupayaan pekerja industri untuk tawar menawar secara kolektif dengan majikan merka.
Jika beberapa cadangan MEF diguna pakai oleh kerajaan, terutama mengklasifikasikan semula pemecatan, ia akan lebih melemahkan pergerakan kesatuan, kata Gopal.
Sebagai contoh, katanya, ada banyak kes di mana pekerja dipaksa memilih antara 2 pilihan yang tidak dapat diterima dalam skim VSS.
Gopal memetik kes di mana pekerja kilang diberi 2 pilihan: sama ada menandatangani perjanjian pekerjaan baharu di mana mereka tidak akan lagi jadi ahli kesatuan, atau menerima VSS yang ditawarkan syarikat.
“Terus bekerja dengan syarikat itu akan jadi lebih teruk kerana tidak akan ada kesatuan untuk melindungi kepentingan mereka dan kebajikan mereka tidak dilindungi perjanjian tawar menawar kolektif.
“Jadi bolehkah anda kata ini sukarela? Dalam kes seumpama ini, apa yang boleh pekerja buat ialah ambil tawaran VSS dan fail aduan di Mahkamah Industri,” katanya.
Badan yang melindungi kesatuan sekerja sektor swasta itu mengesyaki syarikat akan cuba mengambil lebih banyak langkah memaksa menerusi skim VSS dan MSS, dalam usaha mengurangkan pekerja atau menurunkan kos gaji.
“Tidak seperti skim pemberhentian, anda tidak perlu beritahu dan justifikasikan alasan kepada kementerian menerusi skim VSS dan MSS,” katanya.
Gopal berkata, kesan amalan itu ialah lebih banyak pekerja dipaksa melepaskan hak mereka untuk berpersatuan.
“Ini ialah penghapusan kesatuan,” katanya.
sumber
No comments: