Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua hari ini mendakwa laporan interim Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengandungi jawapan berhubung persoalan sama ada Sarawak Report atau portal media lain mengubahsuai atau memalsukan laporannya berhubung syarikat sarat hutang itu.
Beliau yang juga anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendesak Putrajaya untuk membenarkan Ketua Audit Negara untuk mendedahkan laporan interim kepada umum agar ianya dapat dihakimi oleh rakyat sendiri.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ada cara yang mudah untuk menghentikan segala kekeliruan dan konflik akibat daripada dakwaan dan spekulasi mengenai pihak mana yang benar, siapa yang mengubah suai dan memalsukan dokumen 1MDB.
"Najib hanya perlu beri arahan Ketua Audit Negara mendedahkan laporan interim kepada umum," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur hari ini.
Pua merupakan antara ahli PAC yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mendapat maklumat mengenai 1MDB daripada bekas pengarah PetroSaudi International, Xavier Andre Justo, yang kini ditahan pihak berkuasa Thailand.
Bagaimanapun, Selasa lalu, beliau menafikan pernah berjumpa dengan Justo bagi mendapatkan maklumat, namun mengakui mengenali dan ada bertemu dengan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Pua turut berkata pendedahan laporan interim akan menolak segala dakwaan video pengakuan oleh bekas wartawan Sarawak Tribune, Lester Melanyi.
Malah beliau berkata, tidak ada apa yang perlu disembunyikan kerajaan mengenai laporan interim tersebut kerana ia sudah disahkan sendiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Husni dalam kenyataannya minggu lalu berkata tidak ada salah laku ditemui dalam siasatan Jabatan Audit Negara mengenai skandal 1MDB.
"Justeru itu, saya menggesa menteri kewangan yang juga perdana menteri untuk berhenti daripada mengheret nama baik Malaysia ke dalam kemelut ini dan mengarahkan secara terus kepada Ketua Audit Negara untuk mendedahkan laporan interim 1MDB secara umum.
"Ia bagi membuktikan segala dakwaan pengkritik 1MDB seperti kami berdasarkan kenyataan teras dan dokumen, atau membuktikan tuduhan pemimpin Barisan Nasional yang kita sebenarnya yang mengubah suai dokumen terbabit," kata Pua.
sumber
No comments: