Kenaikan itu terpaksa dilakukan memandangkan harga barang naik, selain harga petrol baru-baru ini.
Seorang peniaga, Fuad Adam berkata, harga bagi kerepek terpaksa dinaikkan antara lima hingga 10 peratus berbanding harga sebelum ini.
Bagaimanapun, produk-produk biskut pula dinaikkan sehingga RM2.
Fuad mengakui kenaikan itu terpaksa dibuat kerana peniaga-peniaga sudah tidak mampu menyerap kos meskipun menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelanggan.
Beliau memberitahu, harga kerepek pisang tanduk kini mencecah RM30 sekilogram berbanding RM25 hingga RM28 sekilogram sebelum ini.
"Macam mana harga tak naik, harga pisang tanduk mentah pun sudah naik sehingga RM5 ketika GST untuk harga pembekal.
"Pembekal memerlukan 10 biji pisang tanduk untuk menghasilkan sekilogram kerepek, kalau harga pisang naik tetapi harga kerepek dikekalkan, mana untungnya," katanya ketika ditemui di sini.
Walaupun kebanyakan pelanggan mengeluh dengan kenaikan harga kerepek itu namun permintaan bagi makanan itu masih kukuh.
"Macam tiga hari ini bekalan kerepek pisang tanduk hampir habis, sebab itu saya hanya keluarkan apabila pelanggan bertanya sahaja," tambahnya yang menjual lebih 50 jenis kerepek dan makanan ringan di pasar kerepek Air Hitam , Johor .
Bagi kerepek-kerepek lain seperti kerepek ubi, keladi, kacang dal, kerepek bawang, keledek, keladi, bawang, cakar ayam dan kacang dal masih lagi sama antara RM3 hingga RM9 bagi setengah kilogram.
Manakala produk berasaskan biskut seperti kuih bangkit dan biskut kacang dinaikkan sebanyak RM2 bagi setiap botol.
Harga yang ditawarkan itu sebenarnya jauh lebih murah berbanding yang dijual di Kuala Lumpur kerana bagi setengah kilo kerepek ubi yang dibawa dari sini dijual pada harga RM12.
Fuad menambah, pelanggan memang mengeluh tetapi peniaga juga tidak ada pilihan.
Kenaikan harga makanan ringan itu juga menyebabkan trend membeli dalam kalangan pelanggan berubah.
"Semasa harga murah dulu, pelanggan membeli setiap kerepek sekilogram. Sekarang ini mereka membeli setengah kilo sahaja.
"Kita pun faham, sebab itu saya menyediakan pelbagai saiz pembungkusan bagi memberi pilihan kepada pelanggan," ujarnya.
No comments: