» » Aidil Fitri 2015 yang pudar kerana keadaan ekonomi yang menghimpit majoriti rakyat Malaysia


Bagaimana agaknya sambutan tahun ini? Lebih gembira berbanding tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya?

Atau lebih derita dan sengsara?

Apakah pula perbezaan menyambut hari kemenangan ini sejak negara dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak berbanding Tun Abdullah Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini?

Berdasarkan sungutan di media sosial dan perbualan seharian di kalangan pelbagai lapisan masyarakat, tidak dinafikan ramai yang menyambut Hari Raya tahun ini tidak semeriah seperti selalu.

Selain peningkatan beban kehidupan, kos sara hidup dan kenaikan harga minyak yang diputuskan kerajaan kira-kira dua minggu lalu, Hari Raya tahun ini juga pertama kali disambut bersama dengan cukai GST.

Cukai pukat harimau ini akan memborong semua orang, tanpa pilih bulu dan tanpa rasa kasihan, masuk ke jaringnya. 

Kaya miskin, tua muda, orang berharta, golongan papa kedana, OKU, orang buta, kanak-kanak tadika dan bayi baru lahir – semuanya terpaksa membayar tambahan 6% selagi mereka berbelanja.

Dengan demikian, bukan saja tahun ini perbelanjaan perlu dibuat dengan berhati-hati dan sekatan harus dibuat di sana sini, bahkan kerana beban GST ini juga mungkin menyebabkan kanak-kanak mendapat duit raya yang berkurangan berbanding selalu.

Namun jangan kita sangka, rakyat saja tidak gembira di Hari Raya tahun ini. 

Perdana menteri pun sebenarnya tidak seceria seperti tahun-tahun sebelumnya pada sambutan kali ini.

Jika tahun-tahun sebelumnya Najib dan keluarganya mungkin orang paling gembira menyambut Hari Raya, manakala pada tahun lalu ia berkurangan kerana berlakunya tragedi MH17, tetapi pada tahun ini keceriaan itu mungkin tidak jauh berbeza dengan kita – ceria dalam terpaksa.

Kita gembira dalam terpaksa kerana beban tahun ini lebih berat berbanding tahun-tahun sebelumnya, tetapi Najib pula, ceria dalam terpaksa juga di Hari Raya ini kerana beban politik dan azab kepimpinan yang sedang ditanggungnya jauh lebih memeritkan jika dibandingkan sebelum ini.

Isu 1MDB dan pengaliran masuk wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya adalah musibah yang sedang membawa bencana kepada masa depannya.

Sama ada namanya dapat dibersihkan atau sebaliknya, hakikatnya nama Najib terperosok ke kedudukan sudut paling tepi dalam hati rakyat ketika ini.

Ditambah dengan pengesahan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan deposit RM2 juta dalam tempoh tidak sampai tiga bulan, juga ke dalam akaun peribadinya, sebagaimana yang diedahkan oleh Sarawak Report, menghenyak lagi kedudukan Najib sebagai pemimpin nombor satu negara yang senantiasa cuba membawa roh serta semangat perjuangan Tun Razak dalam setiap gerak langkah dan jalur pemikirannya.

Ketika ini bukan saja rakyat biasa, malah penyokong setia BN juga sudah ramai yang memutuskan untuk menjauhkan diri daripada kepimpinan 

Najib lantaran beliau bukan saja tidak lebih baik daripada Dr Mahathir dan Abdullah, malah dengan isu 1MDB, RM2.6 bilion dan RM2 juta dalam akaun isterinya, beliau dilihat hampir tiada ciri langsung dengan kepimpinan ayahandanya yang sederhana dan disanjung tinggi itu.

Bertali arusnya kritikan terbuka dan sindiran tajam daripada adiknya sendiri, 

Datuk Seri Nazir Razak terhadap kepimpinannya, bukan saja seakan mengesahkan Najib berbeza dengan Tun Razak, tetapi telah menambahparahkan lagi kedudukannya di mata rakyat.

Tentunya yang paling meresah, merimaskan dan telah menjerut urat-urat senyumnya di Hari Raya kali ini ialah kerana serangan serta kritikan berterusan daripada Tun Mahathir belum ditemui lagi formula damainya.

Serangan Dr Mahathir ini sama ada membawa Najib ke penghujung karier atau menjadikan Umno dan BN lebih sukar untuk mengekalkan kuasanya bersama kedegilannya untuk terus bertakhta di Seri Perdana.

Selepas menyambut Hari Raya sehari dua, Najib dilaporkan akan bercuti singkat bagi mencari ketenangan dan menghilangkan kepenatan dari segala beban yang ditanggungnya selama ini.

Hakikatnya, kiranya kita tidak gembira dengan banyak tindakan perdana menteri sejak kebelakangan ini dan ia berlarutan sehingga Hari Raya, 

Najib yang membuatkan kita tidak gembira, sebenarnya turut juga tidak ceria.

Di sudut-sudut tertentu, beliau sebenarnya lebih derita daripada kita yang mungkin tidak memiliki berbilion-bilion atau berjuta-juta.

Namun, semoga kita akhirnya dapat bergembira seadanya di Hari Raya ini bersama anak isteri, kaum keluarga, jiran tetangga, rakan-rakan dan semua yang menghargai dan menyayangi kita.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .