Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dikenali sebagai seorang yang lantang memperjuangkan pendidikan Inggeris.
Ketika bertemu dengan penerima biasisawa baru-baru ini, baginda bertanya mengenai tahap penguasaan bahasa Inggeris bagi melayakkan mereka menerima anugerah tersebut.
Sultan Ibrahim menyamakan bahasa Inggeris dengan Dolar Amerika Syarikat kerana menurutnya ia diterima di mana-mana sahaja termasuk di negara yang rakyatnya tidak bertutur bahasa Inggeris dengan baik.
Menerusi temu bual dengan The Star, Sultan Ibrahim mengulangi cadangannya supaya bahasa Inggeris dijadikan medium penyampai di sekolah.
BERIKUT sebahagian daripada temubual dengan Sultan Ibrahim yang menyentuh secara khusus mengenai sistem pendidian di negara ini.
S: Tuanku, ketika bertitah sewaktu sesi pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini, tuanku ada mencadangkan supaya Malaysia menerima pakai dasar pendidikan Singapura yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar terutamanya untuk menjalin perpaduan. Bolehkah ia dijelaskan dengan lebih lanjut?
J: Singapura adalah jiran kita yang paling dekat. Kita tidak perlu pergi jauh; kita perlu mencontohi mereka kerana repblik itu mencapai pembangunan lebih jauh daripada kita.
Mari kita bersikap jujur dengan diri kita sendiri. Singapura telah melakukan yang terbaik sebagai sebuah negara. Pelajar mereka cemerlang dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Penggunaan bahasa Inggeris secara meluas meletakkan mereka di hadapan kita.
Kita tidak sepatutnya perkecilkan diri sendiri. Kita mempunyai ahli politik yang berada dalam penafian atau atau memilih untuk bermain politik dalam sistem pendidikan.
Mereka mahu menjadi wira perkauman. Mereka bercakap mengenai nasionalisme tetapi pada akhirnya adakah mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah di Australia dan United Kingdom untuk belajar dalam bahasa Melayu?
Saya juga tahu mengenai apa yang dipanggil sistem pendidikan Cina hingga berkeras menghalang guru yang tidak bertutur bahasa Mandarin mengajar di sekolah berkenaan. Ini semua sifat pelampau.
Satu perkara yang kita boleh belajar daripada Singapura adalah cara mereka mengeratkan perpaduan melalui sistem pendidikan mereka.
Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar adalah berkesan dalam pembangunan negara dan menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa atau agama.
Sekolah Inggeris alasan neutral. Kita pernah mempunyai sekolah Inggeris suatu masa dahulu di Malaysia namun ia sudah berubah. Adakah terdapat apa-apa masalah mengenainya?
Penguasaan bahasa Inggeris tidak baik di kalangan anak-anak, dan anak-anak kita tidak bercampur di antara mereka. Orang Melayu pergi ke sekolah-sekolah kebangsaan di mana orang Cina rasa terasing, manakala orang India pergi ke sekolah-sekolah Tamil. Di manakah perpaduan?
Kemudian sesetengah orang juga mahu universiti Cina dan India. Semua ini mendorong kepada pengasingan kaum. Namun kita katakan kita semua 1Malaysia. Malangnya, saya melihat semua ini seolah-olah sebagai 5Malaysia.
Rakyat Malaysia yang kaya menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta dan antarabangsa di mana bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar.
Jadi siapa yang mengatakan tidak ada sekolah Inggeris? Tetapi ia hanya mampu digunakan oleh kumpulan kelas menengah dan atasan di kawasan bandar.
Jadi, tidak lama lagi kita juga akan mempunyai isu kelas dalam masyarakat. Ini semua berpunca daripada perancangan dan pemikiran ahli politik kita.
Bagi saya, pendidikan adalah asas untuk mewujudkan generasi masa depan negara.
Oleh itu, saya berharap Johor akan mula membuka minda mereka. Saya telah menghantar isyarat yang jelas. Saya berharap mereka mula berfikir daripada sekarang dengan mengambil kira sistem pendidikan negara dan bersedia untuk berubah untuk kepentingan rakyat dan pembangunan jangka panjang.
Saya yakin jika kita mempunyai sistem pendidikan yang berasaskan kepada satu aliran bagi pelajar dari usia muda, kita mampu untuk mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan boleh bekerja bersama-sama untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan.
Bagaimanapun, kita juga boleh mengajar bahasa Melayu di sekolah-sekolah kerana ia adalah bahasa kebangsaan negara. Anda masih boleh mempunyai bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar tetapi bahasa Melayu dan Cina atau Tamil adalah wajib.
No comments: