» » 'Jangan sembunyi dan jadi penakut seperti Najib Razak'


PAS perlu berhenti daripada bersembunyi seperti yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan sebaliknya bertanggungjawab atas keputusan muktamarnya memutuskan hubungan dengan DAP, termasuk dengan mengarahkan wakil kerajaan negeri mereka meletak jawatan, kata setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

Ketua menteri Pulau Pinang itu hari ini berkata, barisan kepimpinan baru PAS jelas hilang maruah dan prinsip kerana enggan mengarahkan pemimpin mereka meletak jawatan dalam kerajaan pimpinan DAP.

Lim berkata tindakan terdesak ahli majlis PAS Pulau Pinang yang terus berpegang pada jawatan mereka memalukan parti mereka dan melemahkan kerajaan negeri itu.

"PAS tidak boleh bersembunyi seperti Najib yang sembunyi dari Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai skandal 1MDB, tetapi harus berani bertanggungjawab sepenuhnya kerana menamatkan hayat PR (Pakatan Rakyat), apabila muktamar PAS menerima tanpa bahas usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

"Secara logiknya, PAS harus mengarahkan wakil kerajaan mereka untuk meletakkan jawatan mereka kerana mereka bukan lagi sebahagian daripada PR.

"Keengganan kepimpinan PAS yang baru untuk mengarahkan wakil kerajaan mereka meletakkan jawatan dan tindakan 4 Ahli Majlis PAS dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai mempertahankan kedudukan mereka sangat memalukan, merendahkan maruah dan penghormatan PAS di mata orang ramai," katanya.

Beliau mempersoalkan bagaimana 4 ahli majlis PAS itu boleh terus berkhidmat dengan kerajaan negeri apabila parti mereka memutuskan hubungan dengan DAP, dirinya dan juga pengerusi DAP Pulau Pinang dan exco kerajaan tempatan Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Ahli parlimen Bagan itu juga menuduh PAS "berkelakuan seperti Umno", kerana Idris Ahmad, naib presiden baru parti itu, mendakwa seruan Lim supaya wakil kerajaan PAS meletakkan jawatan menimbulkan persepsi negatif terhadap DAP di kalangan orang Melayu.

Lim berkata Idris "bergantung kepada ekstremisme dan perkauman" untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan PAS mewajarkan kenapa pemimpinnya mereka "masih bergantung kepada jawatan mereka".

"Adalah dikesali apabila PAS berkelakuan seperti Umno, sedangkan saya mengumumkan sebelum ini mana-mana jawatan yang dikosongkan PAS akan diisi oleh orang Melayu yang menyokong pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh saya," kata Lim.

Bagaimanapun, beliau memuji bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Mujahid Yusof Rawa dan Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Rosidi Hussain kerana melepaskan jawatan mereka di negeri itu.

"Inilah pemimpin PAS yang berprinsip, yang menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang bukan kerana jawatan, tetapi kerana iltizam mereka untuk berkhidmat kepada rakyat."

PAS menyerahkan kepada wakilnya sekirnya mereka hendak melepaskan jawatan, kerana usul untuk menamatkan hubungannya dengan DAP, yang diluluskan tanpa bahas pada muktamar minggu lalu bukan keputusan muktamad.

Setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, usul itu perlu dikaji semula oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat yang baru dipilih.

Bagaimanapun, Mujahid berpendapat, sebarang keputusan yang dibuat muktamar sepatunya muktamad, kerana muktamar merupakan badan tertinggi pembuat keputusan dalam parti Islam itu.

Mujahid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata kepada The Malaysian Insider, Majlis Syura dan Jawatankuasa Kerja Pusat mungkin akan membincangkan bagaimana melaksanakan usul itu, bukan membatalkannya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .