» » Najib Razak kecam menteri bocorkan maklumat berkaitan kenaikan tol


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menafikan berita kadar kenaikan tol didedahkan media arus perdana semalam yang mengatakan sebanyak 16 lebuh raya utama di seluruh negara dijangka menaikkan kadarnya.

Najib berkata, perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan keputusan mengenainya akan diputuskan dalam masa terdekat ini.

"Kami bincang tentang tol tapi maklumat dan pelaksanaan akan diputuskan dalam minggu berikutnya," kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional di PWTC malam tadi.

Mengenai laporan yang dipetik daripada Berita Harian semalam, Najib menegaskan keputusan muktamad belum dibuat lagi seperti didakwa akhbar itu.

"Jadi apa yang dibocorkan daripada Kabinet ia belum muktamad lagi," katanya.

Najib kemudian membidas pihak yang membocorkan maklumat dibincangkan dalam Kabinet dan mengatakan ia suatu tindakan tidak beretika dilakukan oleh seorang anggota dalam pentadbirannya.

"Ia dibocorkan dalam media sosial dan dihangatkan. Ia sangat malang apabila ada setengah orang yang tidak beretika.

"Mereka ini sudah mengkhianati sebagai anggota dalam kerajaan," katanya.

Semalam, Berita Harian mendedahkan sebanyak 16 lebuh raya utama di seluruh negara dijangka menaikkan kadar tolnya antara 20 sen hingga RM1 pada Ogos ini.

Akhbar itu memetik Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai berkata, mengikut perjanjian konsesi, tol semua lebuh raya tersebut sudah lama dinaikkan.

"Kalau ada keputusan nanti, kita akan maklumkan," katanya.

Antara kadar tol dijangka meningkat secara mendadak ialah Lebuhraya Besraya yang dijangka naik 70 sen, daripada RM1.30 kepada RM2.

Kadar tol Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) bakal meningkat sebanyak 60 sen, daripada RM1.60 kepada RM2.20, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) akan dinaikkan 50 sen, daripada RM1.60 kepada RM2.10.

Manakala Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Kuala Lumpur Kuala Selangor (Latar) turut akan mengalami peningkatan sebanyak 50 sen, daripada RM2 kepada RM2.50, dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK) naik 60 sen, daripada RM1 kepada RM1.60.

Lebuh raya lain yang bakal mengalami peningkatan drastik ialah Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya Kulim-Butterworth, Lebuhraya Koridor Guthrie dan Lebuhraya Pantai Timur 1.

Difahamkan, ekoran penangguhan kadar kenaikan tol itu, semua syarikat konsesi yang terbabit diberi pampasan berjumlah RM558.9 juta.

Pada November tahun lalu, kerajaan memutuskan menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 20 lebuh raya di seluruh negara yang sepatutnya dinaikkan tahun ini.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .