» » 'Rakyat M'sia akan pilih saya pada PRU akan datang dan buktikan Dr M silap'


Datuk Seri Najib Razak tidak bersetuju dengan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Barisan Nasional (BN) akan kalah pada pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri berkata beliau hairan bagaimana seseorang individu boleh mempunyai hak untuk bercakap bagi mewakili keseluruhan pengundi.

Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno, menegaskan bahawa pembangkang berada dalam keadaan kelam-kabut, dan berikutan perpecahan ideologi asas pakatan pembangkang, negara akan lumpuh jika mereka mengambil alih pemerintahan negara.

"Jika kita dalam BN terus bersatu dan membuktikan kemampuan kita dalam tahun-tahun akan datang, saya percaya rakyat akan membuktikan Tun (Dr Mahathir) silap pada pilihan raya akan datang – sebaik sahaja dibuktikan bahawa dakwaan beliau itu silap dan bermotifkan kepentingan peribadi, bukan kepentingan negara," kata beliau menerusi catatan dalam blognya najibrazak.com.

Najib berkata adalah dikesali bahawa Dr Mahathir terus menentang kepimpinan partinya sendiri.

"Kecaman secara terbuka ini hanya akan merosakkan Umno, kerajaan dan akhirnya, Malaysia. Tingkah laku yang tidak wajar ini merupakan episod malang bagi legasi beliau," kata Najib.

Najib berkata apa yang mendorong bekas perdana menteri itu membuat kecaman ke atas beliau yang masih sebagai perdana menteri ialah "beliau mahu saya meletak jawatan... kerana saya enggan melaksanakan tuntutan peribadi beliau".

"Saya enggan kerana adalah menjadi tugas saya sebagai perdana menteri Malaysia yang dipilih secara demokratik untuk memimpin negara ini dan melakukan apa yang saya percaya adalah betul untuk seluruh negara, bukan untuk seseorang.

"Saya tidak percaya rakyat mahukan seorang bekas perdana menteri untuk memerintah secara proksi," katanya.

Mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Najib berkata tindakan Dr Mahathir mengubah angka dan hujah telah menimbulkan keraguan yang serius mengenai dakwaan beliau terhadap syarikat tersebut.

Dalam kes 1MDB, Najib berkata hutang berjumlah RM42 bilion yang ditanggung syarikat itu, sebenarnya disokong oleh aset bernilai RM51 bilion pada akhir tahun kewangan 2014, tetapi Dr Mahathir tidak mengambil kira perkara itu.

Perdana Menteri berkata jika Dr Mahathir benar-benar mahukan jawapan kepada soalan-soalan yang dibangkitkannya, beliau perlu menunggu hasil siasatan oleh pelbagai pihak seperti Ketua Audit Negara, Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, sebelum membuat kesimpulan.

"Bagaimanapun, beliau nampaknya seperti tidak percaya kepada institusi-institusi ini dan pihak berkuasa yang sah, atau berminat dengan jawapan mereka," katanya sambil menambah bahawa Dr Mahathir hanya menggunakan isu 1MDB sebagai alasan untuk cuba menjatuhkan beliau sebagai perdana menteri.

Najib yang juga Menteri Kewangan, menegaskan bahawa jika seseorang itu terlibat dalam salah laku, beliau akan memastikan tindakan undang-undang akan dikenakan, tanpa mengira siapa mereka .

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .