Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin masyarakat Melayu dan Bumiputera boleh terus disogok bagi menyokong kelangsungan politiknya, kata wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin.
Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu berkata, ia terbukti apabila Najib masih “menaburkan wang” dengan mengumumkan bonus raya baru-baru ini walaupun kewangan negara dalam keadaan genting.
“Mohd Najib sangat yakin orang Melayu-Bumiputera serta orang miskin luar bandar boleh disogok untuk terus menyokong beliau,” tulis Kadir dalam blognya The Scribe A Kadir Jasin hari ini.
"Yang terbaru, walaupun kewangan negara dalam keadaan genting dengan hutang bertimbun, Mohd Najib mengisytiharkan bonus raya untuk sejuta lebih kakitangan awam.”
Kadir yang memimpin NSTP semasa era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan masyarakat luar bandar boleh ditutup mata dan telinga mereka dengan pemberian wang tunai supaya isu-isu besar lain tidak dihiraukan.
"Beliau yakin mata dan telinga orang Melayu-Bumiputera serta orang miskin luar bandar boleh ditutup dengan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) agar tidak menghiraukan isu-isu genting seperti 1MDB (1Malaysia Development Berhad), Felda/FGV (Felda Global Ventures) dan PFI serta ekonomi yang menurun, harga barang dan perkhidmatan yang semakin mahal akibat pelaksanaan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dan banyak lagi isu yang menekan," katanya.
Menurut Kadir, parti komponen BN kini tidak lagi dipedulikan malah tidak diperlukan dalam usahanya kekal berkuasa.
"Parti-parti BN pusat hampir-hampir tidak dipedulikan atau dibawa berunding dalam perjuangan hidup-mati beliau.
"Mohd Najib hanya mengadakan perhimpunan solidariti (perpaduan) dengan Umno – bukan sekali, tetapi berulang kali," katanya.
Mengambil kira faktor ketakpedulian Najib terhadap BN, Kadir berkata kedudukan Najib ketika ini masih belum selamat walaupun parti pembangkang sedang bergelut sesama sendiri.
"Kemungkinan BN kalah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang tetap ada walaupun Pakatan Rakyat (PR) sudah terkubur akibat ketidakserasian DAP-PAS.
"Kalau PR kini hanya wujud dalam bentuk prinsip, BN hampir-hampir tidak relevan lagi di bawah pentadbiran Mohd Najib Abdul Razak," katanya.
Kadir turut berkata, kuasa dan pengaruh Melayu dan Bumiputera paling tercabar sekiranya pembangkang berjaya memerintah negara.
Kadir berkata langkah pertama diambil pembangkang sekiranya memerintah adalah dengan melembutkan hati masyarakat Melayu-Bumiputera, khususnya di kalangan kakitangan awam.
"Kakitangan awam, polis dan tentera yang didominasi oleh orang Melayu-Bumiputera mudah dilembutkan hatinya melalui kenaikan gaji biarpun tidak banyak mana.
"Orang Melayu-Bumiputera miskin mudah diambil hatinya dan ditambat taat setianya dengan menaikkan kadar subsidi pendapatan ala Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya.
Kadir membuat analisis ringkas yang mungkin berlaku sekiranya pembangkang memerintah negara dalam pilihan raya umum depan yang baginya tidak mustahil akan berlaku.
Langkah menambat hati tersebut akan memberi hasil yang lumayan jika pembangkang mengatakan kenaikan subsidi dan gaji adalah hasil penghapusan pemborosan, gaya hidup mewah, salah guna kuasa dan rasuah zaman BN.
"Sesiapa pun yang menggantikan BN akan menjadi lebih popular dan diyakini jika berani mengambil tindakan yang lebih tegas seperti menyiasat, mendakwa dan menghukum pemimpin BN dan tali barut mereka atas kesalahan jenayah," katanya.
Selepas masyarakat Melayu-Bumiputera diambil hati, Kadir berkata kerajaan baru kemudian akan mengisi tuntutan orang Cina dan India yang akan memberi kesan besar dalam ekonomi dan perniagaan.
"Orang Cina dan India, khususnya kelas perniagaan dan ikhtisas (profesional) lebih tinggi tuntutannya dan mereka inilah yang akan mempengaruhi dasar dan pendekatan pengganti BN dalam bidang ekonomi dan perniagaan," katanya.
Malah, kumpulan ini juga penuntut hak dan peranan yang lebih luas dalam penentuan dasar-dasar negara, khususnya yang berkaitan ekonomi, pendidikan dan guna tenaga.
Yang paling dibimbang adalah mereka pasti menuntut penyertaan yang lebih luas dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang kini didominasi oleh Bumiputera.
"Dalam sfera inilah kuasa dan pengaruh Bumiputera paling tercabar.
"PR (Pakatan Rakyat) pastinya tidak akan memberi keutamaan kepada usahawan Bumiputera yang dilihat sebagai proksi atau tali barut parti-parti BN dan akan menjadikan kegagalan korporat (corporate failure) GLC dan GLIC sebagai alasan meminggirkan eksekutif Bumiputera," kata Kadir.
No comments: