» » 'Kastam minta peniaga naikkan sedikit harga untuk stabilkan keuntungan apabila GST dilaksanakan'


Beban cukai GST masih menjadi bualan tidak puas hati di kalangan rakyat di negara ini. Tidak kira di bandar atau kampung-kampung, rata-rata masih ramai yang bersungut, bukan saja mengenai lebih banyak wang perlu dibelanjakan berbanding sebelumnya tetapi juga kerana cukai tersebut turut menyebabkan kenaikan harga barang-barang.

Ada yang merungut perbelanjaan bulanan mereka sudah meningkat berbanding sebelum GST dilaksanakan, sementara yang lain memendam rasa kerana hampir semua barang sudah menaik harganya. Jika dikira dengan GST yang terpaksa dibayar, pengguna sudah dibebankan dengan dua kali kenaikan sebenarnya.

Selain kerajaan mengatakan cukai itu memerlukan sedikit masa untuk rakyat menjadi biasa dengannya, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan seringkali menyalahkan ketamakan peniaga sebagai punca berlakunya kenaikan harga barang-barang itu.

Katanya, dengan perlaksanaan GST pada kadar 6 peratus berbanding SST yang biasanya antara 10 hingga 16 peratus, sepatutnya harga barang menjadi lebih murah berbanding sebelumnya.

Namun, menurut Ahmad Maslan, sikap peniaga yang tamak untuk mengaut keuntungan berlebihan menjadikan harga barangan terus meningkat kerana mereka mencampurkan cukai SST sedia ada dengan GST yang baru diperkenalkan.

Tetapi jika benar ada peniaga yang bersikap demikian, ramai juga yang menyalahkan kerajaan kerana mempunyai aspek penguatkuasaan yang lemah dalam melaksanakan GST sehingga tidak mampu berbuat apa-apa terhadapnya.

Bagi mereka, kerajaan hanya melihat GST sebagai cara paling mudah untuk menambahkan pendapatan negara tanpa memikirkan dengan serius nasib rakyat sebagai pengguna yang mungkin terbeban kerana manipulasinya.

Kata mereka, sebelum menggantikan SST dengan GST, kerajaan sepatutnya mesti bersedia dari segi penguatkuasaan yang lebih cekap bagi memastikan peniaga tidak mudah memanipulasikan harga barangan.

Setelah lebih dua bulan cukai GST ini dilaksanakan, semua kesalahan mengenai kenaikan harga barang hanya ditujukan kepada peniaga dan belum pernah lagi kerajaan mengakui mereka ada kesilapan atau kelemahan dalam perlaksanaannya.

Soalnya benarkah kerajaan tidak bersalah?


Seorang rakan menceritakan pengalamannya ketika didatangi pegawai kastam sebelum perlaksanaan cukai GST pada 1 April lalu.

Katanya, pegawai kastam itu memintanya menaikkan sedikit harga makanan yang dijualnya berbanding sebelumnya bagi mengurangkan beban operasi dan menstabilkan keuntungan apabila GST dilaksanakan.

Menurut peniaga itu, beliau keliru dengan saranan menaikkan harga barangan itu kerana ia seperti dengan sengaja meletakkan dua beban kepada pengguna iaitu kenaikan harga barangan dan cukai GST sebanyak 6 peratus.

Yang menimbulkan rasa musykil peniaga tersebut ialah apakah memang menjadi amalan pegawai kastam menyarankan peniaga menaikkan harga barangan itu dan apakah tujuannya berbuat demikian?

Timbul juga persoalan, apakah perbuatan meminta peniaga menaikkan harga barangan itu merupakan dasar dan dalam pengetahuan kerajaan atau hanya merupakan kes terpencil saja?

Selebihnya pula, katanya, berapa peratuskah peniaga yang tidak menaikkan harga barangan mereka apabila menerima cadangan daripada pegawai kastam itu?

Rakan saya itu bagaimanapun mengatakan beliau menolak cadangan pegawai kastam itu dan tidak menaikkan harga makanannya di mana pelanggannya hanya perlu membayar tambahan GST 6 peratus saja.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .