» » 'Rumah mangsa banjir besar 2014 lambat siap kerana salah kerajaan M'sia'


Kerajaan negeri Kelantan menolak dakwaan kerajaan pusat yang punca kelewatan pembinaan rumah untuk mangsa banjir mega di negeri itu ialah kelewatan meluluskan tanah untuk tapak rumah berkenaan.

Sebaliknya, Kelantan menyalahkan kerajaan persekutuan sendiri, memetik masalah dalam pemberian tender yang tidak selesai bagi projek itu.

"Sila nyatakan tanah mana yang tidak selesai kalau benar ianya adalah kerana tanah. Ia hanya tuduhan politik," kata exco perumahan kerajaan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood kepada The Malaysian Insider.

"Isu sebenar ialah, masalah pemberian tender yang tidak selesai. Kami cadangkan kerajaan persekutuan mempermudahkan perkara ini, bukan menyalahkan kerajaan negeri," katanya.

Fattah diberikan tanggungjawab oleh kerajaan negeri Kelantan untuk mengendalikan isu perumahan mangsa banjir ini.

Beliau berkata demikian mengulas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa punca kelewatan pembinaan rumah untuk mangsa banjir di negeri itu ialah masalah tapak rumah, yang menjadi tanggungjawab kerajaan negeri, tidak selesai.

Shahidan berkata di Dewan Rakyat pada Rabu, kelewatan meluluskan tapak tanah ialah antara punca rumah kekal untuk mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan lambat dibina.

Katanya, kerajaan negeri baru meluluskan 12 tapak tanah di jajahan Kuala Krai pada 8 April lepas bagi pembinaan rumah tersebut.

"Sekarang kita sedang membuat kerja-kerja meratakan tanah sebab kawasan yang diperolehi tidak rata, manakala di Chenulang, kawasan tanah ini diceroboh dengan penanaman kelapa sawit dan sebagainya.

"Bila siap kerja meratakan tanah, kita ada cara pembinaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang boleh disiapkan dalam tempoh 45 hari untuk sebuah rumah," katanya.

Pandangan Shahidan juga selari dengan cerita mangsa banjir yang masih tinggal di pusat pemindahan, termasuk yang dalam khemah, di Gua Musang dan Kuala Krai.

Mereka berkata, punca kelewatan ialah kerajaan negeri yang tidak meluluskan tanah.

Mengikut persetujuan bersama, kerajaan persekutuan akan membina 1,221 buah rumah manakala kerajaan negeri akan membina 300 buah dari 1,821 rumah yang musnah sepenuhnya akibat banjir mega yang melanda Kelantan 24 Disember tahun lepas.

Sehingga kini, kerajaan persekutuan hanya menyiapkan tujuh buah rumah sahaja manakala kerajaan negeri 60 buah.

Ekoran kelewatan ini, beratus mangsa banjir masih tinggal dalam khemah yang panas di waktu tengahari dan basah apabila hujan, menjelang Ramadan ini.

Ketika bercakap kepada The Malaysian Insider, Fattah berkata, kerajaan negeri menjangka akan boleh menyiapkan 150 buah rumah yang dibinanya menjelang Hari Raya Aidil Fitri pertengahan Julai nanti.

Menurut Fattah, semua tanah kini diselesaikan kerajaan negeri kecuali tapaknya yang tidak berapa sesuai dan memerlukan kerja tanah yang banyak sebagaimana di Dabong.

Bagi 77 keluarga mangsa banjir di Dabong, kerajaan negeri sejak awal meluluskan tanah di belakang Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Dabong seluas 25 ekar.

"Mesyuarat bersetuju, selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sanggup menyelesaikan kerja tanah dan infrastruktur, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) membina rumahnya," kata Fattah menjawab Shahidan.

Untuk mangsa banjir di Gua Musang pula, kata Fatah, kerajaan negeri meluluskan tanah seluas 14.8 ekar di Kampung Pulai, Gua Musang.

Ia akan dibina melalui Tabung Kurniaan Tuanku Sultan Kelantan sebanyak 44 buah rumah, katanya.

Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) pula, katanya, akan membina 123 buah rumah di Tanah Puteh, Gua Musang di atas tanah seluas 53 ekar yang diluluskan kerajaan negeri.

Di Limau Kasturi pula, 14 ekar tanah diluluskan oleh kerajaan negeri, kata beliau lagi.

"Di Tanah Puteh juga kerajaan negeri meluluskan 80 ekar tanah untuk pembinaan rumah mangsa banjir yang bakal dilaksanakan Khazanah Nasional," jelas Fattah.

Oleh itu, katanya, isu tanah sebagaimana yang disebutkan menteri itu, dan juga yang didakyahkan terhadap kerajaan negeri, adalah tidak benar dan bukan punca kelewatan pembinaan rumah mereka.

Dalam pada itu, Fattah juga berkata, jika kerajaan persekutuan benar-benar jujur membantu mangsa banjir ini, mereka perlu memasukkan segera mangsa banjir ke dalam rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang yang mempunyai 1,000 unit dan siap sejak 2012 lagi.

"38 dari mangsa banjir ini ada dalam senarai lama bakal pemilik rumah di situ, kenapa ia tidak dimasukkan dahulu ke dalam PPR ini?

"Isu sebenarnya ialah ketidaksefahaman Umno Gua Musang terhadap senarai penghuninya," kata pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar kerajaan negeri Kelantan itu.

Umno Bahagian Gua Musang yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) tidak sepakat dalam banyak perkara ekoran pertelingkahan dalaman antara mereka.

Pemuda dan Puteri Umno bahagian pula tidak selari dengan ketua bahagian mereka itu.

Bagi Fattah, apa yang wajar dibuat Kementerian Perumahan ialah memasukkan 441 mangsa yang hilang rumah sepenuhnya tersebut ke dalam PPR itu.

"Kalau itu dibuat, masalah ini selesai," katanya.

Ketika kunjungan The Malaysian Insider ke pusat pemindahan banjir Bandar Utama, Gua Musang baru-baru ini, penghuni khemah sementara di situ bersetuju memasuki rumah PPR itu walaupun terpaksa membayar sebahagian harganya.

Mereka juga mempertikaikan kenapa rumah yang siap sejak 2012 itu tidak diberikan dahulu kepada mereka untuk membolehkan mereka keluar segera dari khemah yang mereka duduki sejak Januari lalu itu.

Setakat ini, kerajaan negeri Kelantan berjaya mengumpulkan RM10 juta untuk membantu mangsa banjir ini termasuk membina rumah kekal untuk mereka.

Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) pula memperuntukkan RM60 juta untuk mangsa banjir manakala kerajaan negeri Selangor menyumbangkan RM5.06 juta untuk menyiapkan 60 unit rumah untuk mangsa banjir ini.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .