Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan rakyat Malaysia sekarang bukan masanya untuk bergaduh sesama sendiri atau menggesa sesiapa meletak jawatan, mengatakan terdapat banyak cabaran di hadapan yang perlu ditangani.
Bercakap di hadapan kira-kira 2,000 orang di Pusat Transformasi Luar Bandar di Gopeng, Perak, beliau berkata, sebagai perdana menteri, beliau bertanggungjawab menyelesaikan banyak perkara, walaupun bukan semuanya masalah beliau.
"Semuanya akhirnya sampai pada perdana menteri juga. Sama ada masalah dia, atau bukan masalah dia, orang kaitkan dengan perdana menteri," katanya dalam ucapan ketika dalam rangka lawatan ke Perak.
"Kalau parit tersumbat depan jalan rumah dia, perdana menteri juga. Kalau belum ada bekalan api, air untuk projek perumahan pun, perdana menteri juga. Orang yang kena culik di Sandakan pun perdana menteri. Rohingya tidak dapat mendarat pun, perdana menteri. Belum masuk lagi hal-hal lain.
"Tetapi saya bukanlah hendak kata saya hendak mengelak daripada tanggungjawab, sebab inilah tanggungjawab sebagai perdana menteri. Saya orang yang lakukan yang terbaik.
"Ini bukanlah ketika kita hendak berbalah sesama kita, bukan masa hendak suruh orang turun daripada jawatan. Kerana kita terlalu banyak cabaran," katanya.
Katanya, cabaran hari ini berbeza dengan sebelum ini kerana media sosial berupaya menyebarluaskan sesuatu kandungan tulisan atau percakapan.
"Dahulu tidak ada media sosial dan istilah 'viral'. Dulu kalau surat khabar tidak keluar, tidak adalah cerita.
"Tetapi hari ini tulis saja dalam blog, tulis dalam Twitter, dalam Facebook, sudah boleh jadi viral.
"Dan ini adalah cabaran yang ada pada kita, bagaimana kita hendak menangani semua ini," katanya kepada hadirin.
Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno serta parti komponen yang lain kini membina satu institusi yang tiada tolok bandingnya.
"Saya dah pergi ke banyak negara. Parti-parti lama banyak yang dah terkubur atau hilang kuasa tetapi BN dan Umno masih lagi gagah berdiri, dan ini mesti kita pertahankan," katanya.
Najib ketika ini hangat dikritik, terutamanya oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pelbagai dasar kerajaan di bawah pentadbirannya.
Kritikan lantang Dr Mahathir, termasuk menggesa beliau meletak jawatan Najib, menguji kesepaduan Umno, dengan beberapa pemimpin parti menggesa Najib memberi jawapan yang jelas kepada tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
Hari ini, Najib sekali lagi mempertahankan keputusan kerajaan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), satu langkah yang dikritik Dr Mahathir dan disifatkannya sebagai "rasuah".
Najib menyamakan bantuan wang tunai itu dengan bayaran kebajikan yang dibuat negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.
"Niatnya bukan untuk membuatkan rakyat malas atau tidak berdikari tetapi untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik membeli beras, susu dan pakaian sekolah untuk anak mereka."
Katanya, skim subsidi bahan api kerajaan sebelum ini dihapuskan kerana manfaatnya dinikmati oleh terlalu ramai orang, sementara BR1M hanya disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
"Kita tolong orang susah. Apa salahnya? Patutkah kita tolong orang kaya?
"Kalau kita subsidi minyak, banyak orang kaya akan untung. Yang untung siapa? Yang bawa kereta besar untung. Yang bawa kereta Mercedes untung.
"Tuan-tuan bukan bawa kereta Mercedes. Tuan-tuan bawa MyVi, Kancil, motosikal, kapcai. Kalau tuan-tuan tuang minyak penuh tangki pun, (dibandingkan) orang kereta Mercedes tuang penuh tangki, dia dapat lebih banyak lagi subsidi," katanya.
Katanya, BR1M diperkenalkan untuk memperbaiki perbelanjaan pengguna ketika kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Beliau berkata, kerajaan tidak patut dipersalahkan kerana memperkenalkan cukai kepenggunaan itu yang dieksploit peniaga yang tidak bertanggungjawab.
sumber
No comments: