Dana pelaburan strategik negara yang menanggung beban hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sedia memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi tujuan penyiasatan, kata pengerusinya Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.
Katanya, buat masa ini beliau masih belum menerima jemputan rasmi dari PAC, tetapi beliau bersedia memberi keterangan jika pihak PAC memanggilnya bagi menjelaskan mengenai operasi dan urusniaga syarikat itu yang menjadi kontroversi akhir-akhir ini.
"Jika mereka jemput, saya pasti akan hadir. Saya masih belum periksa dengan pengurusan, saya belum terima apa-apa lagi," katanya semasa ditanya wartawan selepas merasmikan pusat beli belah Boustead's MyTown di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, The Malaysian Insider melaporkan pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamad mengesahkan ia akan memulakan prosiding siasatan terhadap 1MDB pada 19 Mei ini.
PAC akan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah.
Minggu berikutnya, 26 Mei, PAC akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy, serta bekas CEO pertama 1MDB Datuk Shahrul Ibrahim Halmi, yang berkhidmat sejak Mac 2009 hingga Mac 2013.
Lodin berkata, pihak 1MDB tidak menyembunyikan sebarang perkara daripada pengetahuan umum walaupun kritikan dan kecaman terhadap syarikat pelaburan tersebut semakin hebat kebelakangan ini.
"Tidak ada setakat yang saya tahu," kata Lodin ditanya sama ada 1MDB menyembunyikan sesuatu.
Mengenai dakwaan terbaru dibuat PKR hari ini membabitkan pinjaman berjumlah RM3.5 bilion di projek pembangunan Bandar Malaysia, Lodin berkata, perkara tersebut perlu dijawab oleh Arul.
"Tentang itu awak perlu tanya kepada Arul, tanya kepada pengurusan," katanya.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli hari ini menggesa 1MDB menjelaskan mengenai dana bernilai RM3.5 bilion yang diperoleh 1MDB menerusi pinjaman dan sukuk sejak 4 tahun lalu bagi membangunkan projek Bandar Malaysia memandangkan tiada sebarang kemajuan dalam projek tersebut.
Dalam kontroversi terbaru terhadap 1MDB, Lembaga Tabung Haji mengesahkan membeli sebidang tanah daripada projek Tun Razak Exchange bernilai RM188.5 juta yang didakwa melalui "potongan" harga.
Bagaimanapun, susulan kritikan dan kecaman banyak pihak, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kemudiannya mengumumkan keputusan menjual semula tanah itu atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Isu 1MDB juga mengugat kedudukan Najib yang mengilhamkan penubuhannya dan merupakan pengerusi lembaga penasihat syarikat itu.
Beliau dikritik hebat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isu itu menjadi punca kepada krisis dalam parti Umno ketika ini.
sumber
No comments: