Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini memulakan siasatan mereka terhadap skandal kewangan yang membelenggu syarikat pelaburan strategik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah adalah individu pertama yang hadir ke prosiding PAC di Parlimen hari ini. Irwan juga merupakan anggota lembaga penasihat 1MDB.
PAC juga akan menjalankan prosiding sama terhadap Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdulla, yang tiba untuk menghadiri prosiding sekitar jam 10.40 pagi.
Kedua-duanya akan memberikan kenyataan kepada PAC yang diketuai Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berhubung operasi 1MDB.
Anggota PAC terdiri daripada 8 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN), 5 Pakatan Rakyat (PR), mengambil keputusan untuk memulakan siasatan terhadap 1MDB selepas mesyuarat khas dijalankan pada 30 April.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengarahkan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang untuk menjalankan siasatan terhadap 1MDB.
Susulan tiada tempoh masa ditetapkan, dan khuatir kemungkinan siasatan jabatan audit akan mengambil masa yang lama, PAC mengambil pendirian untuk memulakan inisiatif menyiasat syarikat yang kini dibebani hutang RM42 bilion.
Ambrin bagaimanapun kemudian mengumumkan, laporan audit berkenaan 1MDB akan dikeluarkan penghujung Jun depan.
No comments: