Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar berhenti menggunakan alasan laporan juruaudit sebagai "perisai halimunan" untuk mengetepikan kritikan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, tindakan Najib yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB sebagai "tidak jujur dan mengelirukan".
"Sabtu lepas beliau tergamak memberitahu ahli Umno Selangor di Klang yang RM42 bilion 1MDB tidak hilang, masih ada 70 ekar tanah Tun Razak Exchange (TRX) dan 500 ekar tanah Bandar Malaysia.
"Hujah ini tidak masuk akal kerana 1MDB hanya membayar RM1.86 bilion untuk tanah-tanah tersebut," kata Pua yang kini disaman Najib berhubung isu syarikat sarat hutang itu dalam satu kenyataan hari ini.
Pua turut membidas kenyataan Najib semalam yang mendakwa akaun 1MDB tidak akan ditandatangani Deloitte "jika benar RM42 bilion lesap".
"Deloitte mungkin bersubahat atau membantu 1MDB dalam menghasilkan laporan tanpa syarat mereka.
"Persekongkolan begini bukan yang pertama kerana kita pernah melihat bagaimana firma audit terbesar dunia, Arthur Andersen runtuh sekelip mata kerana peranan mereka dalam skandal berbilion dolar Enron di Amerika Syarikat.
"Deloitte juga sekurang-kurangnya cuai kerana 1MDB gagal menghasilkan dana untuk membayar pinjaman sebanyak RM2 bilion pada hujung November 2014 walaupun juruaudit menandatangani akaun mereka dalam minggu pertama bulan sama.
"Pastinya firma yang berhadapan krisis sama ada mereka akan mampu meneruskan perniagaan tidak wajar akaun mereka ditandatangani tanpa penekanan terhadap hal ini," katanya.
Pua turut mempersoalkan sama ada 1MDB sengaja mengelirukan Deloitte menerusi pengkelasan 26% aset mereka bernilai RM13.4 bilion yang sebenarnya bukan berdasarkan nilai pasaran sebenar.
"Dalam erti kata lain juruaudit sudah merekodkan mereka tidak dapat mengesahkan kesahihan dan ketepatan angka ini yang diberikan pengurusan 1MDB.
"Najib perlu berhenti mengelirukan rakyat Malaysia dengan separa kebenaran dan penipuan dengan mendakwa audit oleh Deloitte sebagai bukti 1MDB berada dalam keadaan baik," katanya.
No comments: