» » 'Kenapa baru sekarang nak kaitkan saya dengan pembunuhan Altantuya ?'


Datuk Seri Najib Razak hari ini membidas kembali pengkritiknya, yang berulang kali mempersoalkan kaitan beliau dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu , bertanya mengapa beberapa "individu berpengaruh" berkeras membangkitkan kes itu yang sudah selesai di mahkamah.

Tanpa menamakan sesiapa, perdana menteri berkata beliau merasa 'bimbang' apabila perkara itu diulang, kerana katanya, jika pemimpin veteran terus membesarkan isu itu, walaupun secara kebetulan, ia secara automatik akan menimbulkannya semula.

"Individu-individu berpengaruh ini mempunyai banyak sumber. Apabila isu ini meletus, saya percaya mereka masih dapat mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut.

"Jika mereka percaya ia benar, mengapa mereka tidak membangkitkannya apabila isu itu timbul 8 tahun yang lalu? Kenapa sekarang?

"Ada yang berkata, mereka hanya mempersoalkan perkara ini sekarang kerana ia kini bertukar menjadi isu antara hidup dan mati kepada mereka yang disabitkan kesalahan.

"Tetapi kes ini selesai dibicarakan di mahkamah, dengan keputusan yang jelas, dan hukuman dikenakan.

"Adakah mereka mempertikaikan sistem kehakiman yang mereka sendiri buat?" soalnya dalam bahagian Soalan Lazim laman web NajibRazak.com hari ini di mana beliau menjawab 13 isu panas yang dibangkitkan pelbagai pihak.

Bulan lepas, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyenaraikan dalam blognya chedet.cc pelbagai tuduhan terhadap Najib yang menurutnya tidak dijawab dengan sempurna.

Ia termasuk pembunuhan Altantuya dan dakwaan dibuat salah seorang yang disabitkan bersalah, bekas komando polis Sirul Azhar Umar, yang merupakan bekas pengawal peribadi Najib.

Sirul mendakwa beliau "menurut arahan" membunuh Altantuya, dan Dr Mahathir berkata perkara itu harus disiasat kerana Sirul pernah bekerja dengan Najib.

Najib berkata, " tidak adil" untuk memaksa beliau mengusahakan supaya kes itu disiasat lagi, terutamanya kerana proses kehakiman kini selesai.

"Tidak adil untuk paksa saya untuk siasat kes ini sekali lagi dan menuntut jawapan siapa, kalau betul ada, yang mengarahkan pembunuhan itu.

"Saya tidak terlibat dan tidak tahu apa-apa. Mahkamah menentukan siapa yang bersalah atas pembunuhan itu. Ia sepatutnya berakhir di situ.

"Walaupun mahkamah mengambil masa lama membicarakan dan memutuskan penghakiman, masa yang mencukupi diberikan kepada perayu untuk kes mereka didengar dan diadili, saya melakukan sumpah laknat, saya berulang kali membuat penafian, penjelasan terbuka dibuat Abdul Razak Baginda, setengah orang terus mempersoalkan isu ini dan terus cuba mengaitkan saya," katanya.

Razak dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam pembunuhan yang berlaku pada 2006 itu, tetapi Sirul dan bekas ketua inspektor Azilah Hadri didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan selepas pusingan akhir rayuan dan dijatuhi hukuman mati.

Azilah ketika ini sedang menunggu hukuman mati manakala Sirul melarikan diri ke Australia sejak tahun lepas.

Pihak berkuasa Malaysia sedang dalam proses memohon beliau diekstradisikan.

Najib mempersoalkan mengapa rakyat terus melayan isu tersebut yang katanya dikitar semula oleh pembangkang.

Beliau berkata, rakyat perlu sedar, dalam politik, banyak isu yang dimainkan berulang kali dan ia salah satu daripadanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .