Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akhirnya memecahkan kebisuan hari ini, mempertahankan pembelian sebuah jet peribadi baru, mengatakan ia bukan untuk bermewah.
Menulis di blognya www.najibrazak.com, di mana beliau menjawab kritikan berhubung pelbagai isu, beliau berkata, ia satu "amalan standard" bagi kebanyakan pemimpin dunia menggunakan jet rasmi.
"Ia bukan untuk bermewah, tetapi untuk memastikan kecekapan dalam menjalankan tugas mereka."
Ia susulan laporan pada Mac apabila PKR menyelar Putrajaya kerana membuat pembelian jet rasmi baru yang ketujuh, Airbus ACJ320.
Jet baru itu, menurut parti pembangkang itu, diperolehi melalui perjanjian sewa beli secara rundingan terus dengan Jet Premier One, syarikat sama yang mengendalikan jet Airbus ACJ319 sedia ada yang digunakan perdana menteri.
Sejumlah RM28.8 juta dalam sewa beli dan RM5.5 juta dalam kos penyelenggaraan dibelanjakan setiap tahun untuk jet itu, tidak termasuk kos bahan api.
Najib berkata dalam blognya, dalaman pesawat itu dikonfigurasikan bagi menepati keperluan mesyuarat dan perbincangan yang akan diadakan di atas kapal terbang supaya kerja boleh terus dijalankan semasa dalam penerbangan.
"Oleh itu, tidak timbul soalan sama ada sesebuah negara harus atau tidak mempunyai jet rasmi.
"Kita tidak boleh terpengaruh dengan propaganda pembangkang mengatakan kerajaan membazirkan wang dengan membeli jet baru."
Najib berkata, pembangkang gagal menjelaskan yang jet itu dibeli bagi menggantikan sebuah pesawat berusia 16 tahun yang kini tidak selamat untuk digunakan.
"Selain itu, ia juga merupakan pesawat rasmi yang digunakan Yang di-Pertuan Agong, menyebabkan lebih-lebih lagi kita tidak boleh berkompromi dari segi keselamatannya."
Pada masa sama, katanya, kos penyelenggaraan pesawat lama Boeing Business Jet, adalah tinggi, oleh itu ia perlu dilupuskan.
"Wang yang kerajaan dapat daripada penjualan itu akan tentu sekali mengurangkan kos yang dibayar untuk pesawat baru itu."
Putrajaya terdahulu berkata, keputusan membeli pesawat baru itu dibuat 2 tahun lalu memandangkan kos yang semakin meningkat diperlukan untuk mengekalkan pesawat yang lebih lama.
Ia bagaimanapun menerima kritikan hebat dengan ramai yang mempersoalkan pembelian itu yang dibuat ketika rakyat berdepan kos sara hidup yang tinggi dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
sumber
No comments: