» » BERSIH cabar Najib Razak berdepan dan jawab soalan wakil rakyat di Parlimen


Datuk Seri Najib Razak perlu menghormati pengundi dengan menjawab soalan-soalan berkenaan dirinya dan pentadbirannya di Dewan Rakyat, kata pengerusi gerakan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.

"Hadirlah ke sidang dewan dengan berani dan jawablah semua soalan yang dikemukakan wakil rakyat," katanya sambil mencadangkan agar satu sesi khas diadakan untuk Najib menjawab soalan.

Maria berkata demikian sewaktu mengulas tindakan Najib pada petang Ahad lalu yang menjawab beberapa tuduhan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi blog beliau.

Beliau turut membidas dakwaan Najib Barisan Nasional (BN) mempamerkan prestasi lebih baik pada Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13).

Menurut Maria, keputusan menyebelahi BN kerana tindakan penentuan sempadan dan pembahagian semula kawasan pilihan raya.

Menurut Maria lagi, tindakan Najib menggunakan blognya untuk menjawab kritikan adalah "trafik sehala" kerana orang ramai tidak mendapat jawapan segera kepada soalan-soalan susulan mereka.

"Sebagai perdana menteri Malaysia, beliau mesti memastikan sedia menjawab soalan tambahan bukan sahaja daripada pembangkang tetapi juga daripada penyokong kerajaan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Menurutnya, Najib perlu menghormati Dewan Rakyat kerana pengundi yang meletakkan semua 222 orang wakil rakyat, termasuk perdana menteri, di Dewan itu menerusi peti undi.

Menurutnya, soalan-soalan yang dibangkitkan Dr Mahathir juga penting buat kebanyakan rakyat Malaysia.

"Saya tiada masalah jika perdana menteri mahu menggunakan blognya untuk berceloteh secara peribadi dengan mana-mana individu tetapi isu-isu yang perlu dijawab menjadi perhatian orang ramai," katanya.

Dalam ruangan Soalan Lazim di blognya www.najibrazak.com, beliau menyenaraikan 13 isu dan dakwaan yang dibuat terhadap beliau dan pentadbirannya.

Ia termasuk pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, penggunaan jet kerajaan, dan kemungkinan BN memenangi pilihan raya umum akan datang.

Najib turut menolak tuduhan Dr Mahathir yang mendakwa prestasinya lebih buruk berbanding pendahulunya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PRU13, kerana hilang lebih banyak kerusi Parlimen.

Menurut Najib, pada 2013, BN mengalahkan PAS dan berjaya menguasai kerajaan Kedah semula dan kekal berkuasa di Perak, negeri yang dirampas pembangkang dalam PRU12 pada 2008.
Umno juga, kata Najib, memenangi lebih banyak kerusi dalam PRU13.

Namun menurut Maria, BN memenangi pilihan raya itu kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menjalankan pengundian secara adil dan bebas.

"Inilah kesimpulan laporan Tribunal Rakyat selepas pilihan raya selesai," katanya sambil menambah SPR dan BN enggan membentangkan kes mereka pada tribunal itu walaupun dijemput berbuat demikian.

Menurutnya, hasil pilihan raya adalah berbeza jika SPR tidak melakukan amalan salah dalam pembahagian dan penentuan sempadan.

BN memperoleh 133 kerusi, kurang 7 kerusi daripada tahun 2008, sementara Pakatan Rakyat memperoleh 89 kerusi dalam pilihan raya 2013.

Pada 10 Mei lalu, Najib pada satu majlis di Kota Belud, Sabah berikrar tidak akan tunduk kepada tekanan agar melepaskan jawatan dan akan kekal selagi ahli Umno menyokongnya.

Keesokan harinya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Najib mengumumkan majlis itu mengikrarkan taat setia mereka kepada beliau dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, Najib kini berdepan seruan untuk bersemuka dengan wakil rakyat apabila Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menggesa Najib menjawab soalan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sama ada beliau akan terus kekal sebagai perdana menteri.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .