» » Jaminan akan bersikap lebih telus mengenai hasil kutipan GST


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan akan bersikap telus mengenai hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan berkata ia akan dibentangkan pada bajet akan datang.

Najib berkata, Putrajaya ikhlas membantu rakyat dan hasil kutipan cukai 6% yang berkuatkuasa 1 April lalu itu akan disalurkan kembali kepada rakyat.

"Saya akan buat cara telus, umpamanya GST, daripada rakyat balik kepada rakyat.

"Kalau kita tambah hasil, saya akan bentangkan dalam belanjawan negara akan datang, apa yang kita guna tambahan hasil itu, itu untuk rakyat. Inilah konsep kita," katanya pada program perasmian projek perumahan rakyat Melana Indah, di Johor Baru, hari ini.

Beliau menggesa rakyat tidak terpengaruh dengan "hasutan" mana-mana pihak berhubung pelaksanaan cukai tersebut.

"Jangan dengar hasutan mana-mana pihak...156 negara (laksana GST), takkanlah buat silap," kata Najib di depan 15,000 hadirin.

"Saya tahu keluh kesah pasal GST. GST ini dasarnya baik, hanya pelaksanaannya kita perlu perbaiki sana sini. Saya sedia timbangkan," katanya.

Pelaksanaan GST bermula pada 1 April 2015 bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan pada kadar 10%.

Najib sebelum ini dilaporkan menerima ejekan daripada hadirin ketika sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, Sarawak, ketika beliau mengatakan GST diperkenalkan bukan untuk membebankan rakyat.

Pentadbiran beliau terus dikritik susulan pengenalan GST dan ramai mempersoalkan Putrajaya yang mendakwa harga barang tidak akan naik.

sumber



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .