Datuk Seri Najib Razak berkata Badan Perhubungan Umno Johor semalam melahirkan sokongan kepadanya dan mahu isu berbangkit diselesaikan dengan bijaksana.
Beliau berkata, mesyuarat Umno Johor yang berlangsung malam tadi di Johor Baru turut menyatakan sokongan melalui "cara orang Johor" kepada kepimpinannya, yang kebelakangan ini dikritik hebat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Malam tadi bila saya jumpa Badan perhubungan Umno Johor, mereka melahirkan sokongan padu kepada saya sebagai presiden dan perdana menteri.
"Sokongan Johor dengan timbal balas, ada isu pada rakyat yang kita perlu tangani dengan hikmah dan bijaksana," katanya ketika berucap merasmikan projek perumahan rakyat (PPR) Melana Indah, di Johor Baru.
Najib berkata sokongan yang diberikan Umno Johor bukanlah "sokongan yang membawa rebah".
"Saya sebut malam tadi, sokongan orang Johor bukan bawa pada rebah. Sebab ada sokongan bawa rebah.
"Johor kata selesaikan dalam masa terdekat dan insya-Allah kita akan menang Pilihan Raya Umum ke-14.
"Cara Johor amat baik, sebab itu Johor terus menjadi tulang belakang kepada Umno,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu turut menyentuh sokongan yang diterimanya di Sabah minggu lepas, semasa lawatan kerja sehari ke negeri itu.
"Sokongan saya terima dari Sabah... 40,000 orang berhimpun di Tawau. Tapi tidak kurang juga di Johor. Saya anggap ini memberi keyakinan kepada saya," katanya, di depan 15,000 hadirin.
Sebelum ini, ketua penerangan Umno Johor, Datuk Samsol Bari Jamali berkata mesyuarat malam tadi memutuskan untuk terus menyokong kepimpinan Najib.
Ahl Dewan Undangan Negeri Semarang itu berkata, mereka juga tidak melihat ada individu lain yang layak menggantikan beliau.
"Ceritanya lebih kepada sokongan (kepada Najib)... kita pun tiada pilihan, nak macam mana, tiada pilihan kita nak tukar," kata Samsol.
Najib dalam ucapannya juga bertegas tidak akan berundur, sebaliknya memberikan komitmen untuk terus mentadbr negara walaupun berhadapan serangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Sebagai nakhoda pada bahtera Malaysia, walaupun didepan dengan taufan dan ombak, nakhoda ini tidak akan bertukar haluan dan terus dengan pelayarannya," kata Najib.
Najib sebelum ini mengadakan lawatan kerja sehari ke Sabah, serta menghadiri perjumpaan khas bersama pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) di sebuah hotel.
Beliau juga mendapatkan sokongan penuh ahli Majlis Tertinggi Umno minggu lalu.
Dr Mahathir yang sejak kebelakangan ini memperhebatkan serangan ke atas Najib, dijadualkan menghadiri program bual bicara di Ipoh petang ini, yang dibuka kepada umum.
sumber
No comments: