» » 'BR1M idea Bank Negara dan ia tiada kaitan untuk politik'


Bantuan tunai di bawah program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan cadangan Jawatankuasa Fiskal Bank Negara Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini, menolak dakwaan ia mempunyai tujuan politik.

Berucap pada program perasmian projek perumahan rakyat Melana Indah, Johor Baru pagi ini, Najib berkata dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang BR1M akan menjadikan rakyat malas adalah tidak benar, sebaliknya ia menolong 40% rakyat peringkat bawahan.

"Kita akan terus menolong rakyat untuk menangani kos sara hidup rakyat. Kita perkenalkan BR1M. Tun (Mahathir) kata BR1M buat rakyat malas. Dia tak setuju.

"Tapi BR1M bukan buat kita malas. Ia jaringan keselamatan, memindah kekayaan negara dalam jangka masa pendek," kata Najib, di depan kira-kira 15,000 hadirin.

Beliau turut mengajukan soalan sama ada BR1M menjadikan mereka semakin malas.

"Saya nak tanya tuan-tuan hari ini. Berapa ramai yang terima BR1M, apakah BR1M jadikan tuan-tuan malas?" disambut teriakan "Tidak!" oleh mereka yang hadir.

"Nak teruskan?" soalnya, dan dijawab "Nak!"

"Kalau tidak mahu BR1M boleh pulang balik, kita mansuhkan,” katanya.

Najib berkata BR1M yang disalurkan kepada rakyat berpendapatan rendah bertujuan membeli keperluan harian, dan kerajaan tidak boleh disalahkan sekiranya penerima membelanjakannya untuk perkara tidak bermanfaat.

"Gunakan BR1M membeli keperluan harian, beli gula, susu, pakaian anak. Jangan beli rokok dan barangan yang tidak perlu, kalau beli rokok, bukan salah kerajaan. Tuan-tuan yang tentukan,” katanya.

Disember lepas, Dr Mahathir berkata Najib melakukan kesilapan besar dengan memberikan bantuan wang tunai secara "one-off".

"Daripada kita memberikan wang tunai, lebih baik kita berikan latihan dan kemahiran. Saya sudah kata kepada Najib tetapi beliau percaya 'duit itu raja' dan boleh mendapatkan sokongan," katanya.

Dr Mahathir sebelum itu pernah menyifatkan BR1M sebagai rasuah.

"Bantahan utama saya ialah kerana pemberian wang pada skala begitu sangat kelihatan seperti rasuah," katanya.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan, BR1M akan dirombak semula pada tahun depan dan hanya akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah untuk membeli barang keperluan asas sahaja.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, kerajaan juga menimbang sistem kupon makanan seperti yang digunakan Amerika Syarikat (AS), iaitu memberi baucer tunai kepada penerima yang layak.

BR1M kini diberikan dalam bentuk tunai kepada isi rumah berpendapatan RM4,000.

Tahun depan, agihan BR1M akan diberikan secara berperingkat sebanyak tiga kali.

BR1M ditingkatkan sebanyak RM300 dalam pembentangan Bajet 2015 pada minggu lalu.

Isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dinaikkan bantuan daripada RM650 kepada RM950, manakala individu berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 diberi bantuan RM750.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .