PAS menyifatkan pengumuman Datuk Seri Najib Razak semalam, yang hutang RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini tersimpan dalam bentuk 2 bidang tanah di "lombong emas" di Kuala Lumpur, satu pengakuan yang 1MDB sudah habis menggunakan wang RM42 bilion yang dipinjamnya itu.
Oleh itu, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Najib harus menyahut cabaran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang menyatakan kesediaannya berdebat secara terbuka dengan Najib mengenai isu 1MDB.
"Ia pengakuan yang 1MDB sudah habis menggunakan RM42 bilion yang dipinjamnya dan sekarang terpaksa bergantung pada pembangunan TRX dan Bandar Malaysia untuk melangsaikan hutangnya.
"Bukankah ini satu bola tanggung kepada Dr Mahathir untuk berkata yang dakwaannya mengenai 1MDB benar selama ini?
"Oleh itu, wajarlah Najib berdebat dengan Dr Mahathir apabila bekas perdana menteri itu sudah menyatakan kesudiannya dan menuduh beliau ‘tak pernah cakap betul, selalu bohong’.
"Itu satu tuduhan yang berat bagi seorang perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Ini peluang Najib membuktikan siapa sebenarnya yang berbohong antara beliau dan Dr Mahathir, terutamanya apabila bekas bosnya baru sahaja terbukti silap mengenai perletakan jawatan Speaker Parlimen," kata Tuan Ibrahim.
Tuan Ibrahim berkata, RM42 bilion ialah satu jumlah yang teramat besar.
"Jikalau duit yang dikumpul melalui hutang ini digunakan dengan betul di TRX dan Bandar Malaysia, sudah tentu 1MDB sendiri boleh membangunkan TRX tanpa menjual tanahnya kepada Lembaga Tabung Haji," katanya.
Beliau juga minta Najib menjelaskan, selain menjual tanah, apakah sumber pendapatan 1MDB yang lain.
"Bagaimana aliran tunai bulanan 1MDB? Apakah sumber pendapatan 1MDB sekarang mampu menampung pembayaran bunga hutang dan operasi 1MDB?
"Atau 1MDB hanya sekadar bergantung untuk mencairkan asetnya sebagaimana ia sedang menjual tanah TRX sekarang untuk menampung perbelanjaannya?" katanya yang mahu Najib menerangkan semuanya dalam debat bersama Dr Mahathir itu nanti.
Perdana menteri paling lama berkhidmat itu mengatakan demikian pada sesi soal jawab dalam program sama di Ipoh semalam.
sumber
No comments: