Kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dipandang tinggi oleh pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, kata Datuk Seri Hasan Malek dalam mempertahankan Najib daripada meletakkan jawatan.
Menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan itu berkata, Malaysia berada di persada antarabangsa dan kepimpinan Najjib dipandang tinggi, “sama ada disukai atau pun tidak”.
“Kita di peringkat antarabangsa. Dunia mengenali kita. Dunia mengiktiraf kepimpinan negara kita, Najib. Sama ada kita suka atau tidak, itu saja,” katanya dalam satu ucapan di Kuala Lumpur hari ini.
"Obama mempunyai pandangan tinggi kepada pimpinan YB Datuk Seri.
“Presiden China malah (Presiden Rusia Vladimir) Putin. Ini semua pemimpin dunia. Mereka mengiktiraf pimpinan kita kerana apa yang kita lakukan selari dengan apa yang rakyat mahu.”
Najib berdepan tekanan yang memintanya meletakkan jawatan selepas bekas perdana Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran Umno dan Barisan Nasional (BN) akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang jika beliau tidak berundur.
Dr Mahathir menggunakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), urusan jual beli tanah di antara Tabung Haji dan 1MDB, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Selain Dr Mahathir, Najib juga menerima kritikan daripada wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin, bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin yang mendakwa Najib tidak lagi mendapat sokongan ahli parti dan akan berundur sebagaimana penyandangnya Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Bagaimanapun, Najib pada Isnin berkata ahli Majlis Tertinggi Umno dalam mesyuaratnya memperbaharui sokongan kepadanya dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin Umno.
sumber
No comments: