» » TI Malaysia lancar talian bebas tol dan emel laporkan rasuah


Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini melancarkan satu inisiatif meningkatkan kesediaan orang awam melaporkan rasuah di samping memperbaiki kualiti laporan rasuah yang akan dimajukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Inisiatif #SpeakUpAgainstCorruption (Bersuara Menentang Rasuah) itu terdiri daripada talian bebas tol dan emel khusus yang boleh dihubungi orang awam untuk membuat laporan kes rasuah.

Presiden TI-M Datuk Akhbar Satar berkata talian bebas tol itu akan diselia seorang bekas majistret bagi meningkatkan kualiti laporan kes rasuah daripada orang awam.

"Kita mahu perbaiki kesediaan untuk membuat laporan rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Kepada orang awam, kami perlukan sokongan anda melaporkan tentang rasuah. Kami ada pusat kami, anda boleh hubungi nombor talian bebas tol atau datang ke pejabat kami," katanya pada majlis pelancaran inisiatif itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Bercakap kepada pemberita, Akhbar berkata dengan cara ini juga pengadu boleh dididik untuk meningkatkan kualiti laporan mereka di samping memanfaatkan hubungan baik TI-M dan SPRM.

"Pengadu biasanya tiada hubungan rapat dengan SPRM tetapi menerusi hubungan rapat kami, kerjanya akan jadi lebih cepat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Masyarakat SPRM Abdul Samat Kasah berkata pihaknya menyambut baik inisiatif itu.

"Bersuara bukan saja untuk melaporkan, tetapi juga menjadi pemberi maklumat, penasihat, dan saksi dalam memerangi rasuah," katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1 800 220 122 dari 9 pagi hingga 4 petang pada Isnin hingga Jumaat atau menghantar emel ke speakup@transparency.org.my untuk melaporkan kes rasuah.

Satu pameran berkenaan inisiatif ini juga berlangsung di Publika sehingga jam 10 malam hari ini.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .