» » Makin banyak sokongan diperolehi oleh Dr Mahathir berkaitan pergeseran dengan Najib Razak


Dalam pertembungan yang sedang berlaku antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Najib Razak, ramai yang tertanya-tanya apakah pendirian Pemikir atau Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia mengenainya.

Pertanyaan itu timbul kerana Pemikir dianggotai beberapa tokoh berpengaruh daripada kalangan bekas menteri, ahli Parlimen, pegawai tinggi kerajaan serta tokoh penting dalam masyarakat.

Antara mereka yang menganggotai Pemikir ialah Sabbaruddin Chik, Azmi Khalid, Aziz Shamsuddin, Osu Sukam, Dr Suleiman Mohamad dan ramai lagi. Bekas Peguam Negara, Abu Talib Othman dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga menganggotai NGO itu.

Lebih menarik ialah Presiden Pemikir adalah Aziz Yassin, bekas ahli Parlimen Muar yang juga abang kepada timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, NGO ini juga difahamkan kerap mengadakan pertemuan dan bertukar-tukar fikiran dengan Mahathir dengan kali terakhir mereka mengadakan pertemuan dengan bekas PM itu ialah pada 8 April lalu.

Lalu, ramai yang bertanya, apa pendirian Pemikir sebenarnya - menyokong Mahathir atau Najib?

Ramai juga bertanya, kenapa Pemikir masih berdiam diri sedangkan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan pelakon Rozita Che Wan pun berani menyatakan sokongan terbuka kepada Mahathir?

Tidakkah NGO itu terpanggil untuk bersama-sama dengan Mahathir yang sudah mulai menyebut nama Muhyiddin sebagai pengganti yang layak mengambil alih tempat Najib?

Setelah diasak pelbagai pihak, Aziz dalam SMS yang banyak dihantar kepada ramai kenalan dan rakan-rakannya pagi tadi, beliau memaklumkan sokongan Pemikir terhadap Mahathir.

Dalam SMSnya itu, beliau berkata, NGO itu ditubuhkan dengan sokongan daripada Mahathir, malah bekas PM itu juga adalah Penaung Seumur Hidup kepada Pemikir.

Justeru yang demikian, tambah Aziz lagi, Pemikir menyokong penuh segala tindakan yang dibuat Mahathir demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Di ketika Najib mungkin berbangga dengan sokongan bertalu-talu daripada ketua Bahagian Umno, Wanita, Pemuda, Puteri dan sebagainya serta Mahathir pula mengeluh beliau mungkin keseorangan, ramai yang cintakan negara ini merasakan bekas PM itu sebenarnya lebih disokong dalam diam rakyat negara ini.

Buktinya melalui sokongan yang dinyatakan Siti kepada Mahathir di Instagram miliknya saja mencatat sebanyak 17. 2 juta "like" serta lebih 700 komen sehingga pagi tadi.

Tidak diragui lagi, sokongan rakyat kepada Mahathir sebenarnya jauh lebih besar daripada gegak-gempita yang dihebohkan melalui pertemuan Najib dengan ketua-ketua Bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

Mungkin kerana "sedikit tersindir" dengan keberanian Siti dan Che Ta menyatakan pendiriannya, maka Aziz akhirnya tampil dengan tebaran SMS yang banyak dihantar kepada rakan-rakan dan kenalannya mengenai pemakluman sokongannya kepada Mahathir itu.

Meskipun agak terlambat berbanding Siti dan Che Ta, sekurang-kurangnya Aziz menjadi "berani" juga akhirnya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .