» » 'Sokongan untuk Najib Razak tak mampu tandingi pengaruh Dr Mahathir'


Sokongan tidak henti-henti diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak ketika berdepan serangan paling hebat, namun ahli Umno berpendapat, seterunya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih berpengaruh dalam parti itu.

Mereka berkata, sokongan dalam parti tidak memadai untuk mengekalkan kedudukannya sebagai perdana menteri, dan yang lebih membimbangkan, Umno dan Barisan Nasional (BN) bakal kecundang dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin berkata, walaupun majoriti dilihat menyokong Najib selaku presiden parti, tapi tidak dinafikan masih ada ahli Umno yang berbelah bahagi untuk menyokong sama ada Najib atau Dr Mahathir.

"Saya melihat, sokongan Umno terhadap Najib bukan melibatkan pemimpin atasan sahaja, ia juga mewakili suara di akar umbi. Bagaimanapun, memang ada sebahagian orang Umno yang berbelah bahagi dalam pendapat mereka.

"Ini kerana, hakikatnya, Dr Mahathir masih ada pengaruh di kalangan orang Umno," kata Bung (gambar, kiri) kepada The Malaysian Insider.

Pada Sabtu, Dr Mahathir secara terang-terangan meminta Umno menyingkirkan Najib untuk menyelamatkan Umno dan BN daripada mengalami kerugian yang lebih besar dalam pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata, Najib tidak cekap untuk memimpin negara sebagai perdana menteri kerana beliau gagal menjelaskan mengenai dana milik kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Walaupun ramai pemimpin Umno lain rancak membela Najib, corak politik dan sejarah parti Melayu itu menunjukkan, tidak mustahil mereka tiba-tiba akan berubah angin.

"Sekarang ini orang Umno masih menghitung, siapa menang, siapa kalah. Sebab itu belum ada yang agresif," kata seorang aktivis parti dari Kedah yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli Yunus kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Dr Mahathir berkata, ramai yang berjumpa dengannya menyatakan sokongan terhadapnya dalam mengkritik Najib, tetapi mereka tidak berani menyatakannya secara terbuka kerana bimbang ditangkap.

"Saya memahami kebimbangan mereka. Orang ditangkap dan kemudian dibebaskan, perkara macam itu. Orang ramai sekarang takut polis datang dan ambil mereka," katanya.

"Jadi, mereka bersetuju dengan saya, tapi mereka tidak akan tunjuk," katanya kepada wartawan selepas forum anti peperangan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Dr Mahathir, bagaimanapun menegaskan bukan beliau seorang saja yang mahu Najib meletak jawatan, sambil menambah yang ia demi kebaikan Umno dan negara.

"Saya rasa ramai yang mahu beliau letak jawatan untuk kebaikan Umno dan negara."

Seorang ahli Umno berkata, serangan beberapa pemimpin Umno terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikaitkan dengan kontroversi 1MDB, sebenarnya satu petanda penolakan terhadap Najib memandangkan sudah menjadi pengetahuan umum siapa di belakang ahli perniagaan tersebut.

Bung menyedari persepsi buruk yang berpunca daripada kontroversi menyelubungi Low, atau dikenali sebagai Jho Low tersebut, khususnya terhadap imej Najib sendiri.

"Saya tidak kenal Jho Low ini, personalitinya jauh berbeza, tapi ada orang hubung kait beliau dengan anak Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor).

"Bila dikaitkan dengan Rosmah, persepsi orang ramai akan ingat dia (Low) ada apa-apa. Kalau tidak ada apa-apa, Jho Low perlu menjelaskan peranannya dalam 1MDB ini," katanya.

Pemerhati menyifatkan, sementara Najib mungkin dilihat meraih sokongan kuat dari partinya, Dr Mahathir yang dikenali dengan kepintarannya, sedang menyusun langkah seterusnya.

Apabila Dr Mahathir baru-baru ini berkata beliau keseorangan, ia merupakan senjata paling kuat kerana ia serta-merta menarik simpati dan sokongan orang ramai.

Bekas menteri kabinet, Tan Sri Zainudin Maidin yang ditemui The Malaysian Insider juga berkongsi serba sedikit pengalaman tentang corak politik Dr Mahathir.

Katanya, sukar untuk meramal sejauh mana Dr Mahathir akan terus menyerang dan bila beliau akan berhenti.

"Sukar untuk hentikan kritikan Dr Mahathir. Beliau semakin jauh mengkritik dan semakin jelas sokongan rakyat ditunjukkan kepadanya, meskipun beliau kata beliau keseorangan," katanya.

Kesilapan Najib, menurut pemerhati, ialah apabila melancarkan serangan terbuka terhadap Dr Mahathir, dibantu pengikut setianya yang cuba melaga-lagakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz dengan bapanya itu.

Pemimpin Umno Kedah, Datuk Ahmad Lebai Sudin yang mencabar Mukhriz meletak jawatan diketahui berkawan rapat dengan bekas penasihat Najib, maka tidak hairan mengapa beliau begitu lantang.

Seorang lagi sumber yang rapat dengan salah seorang naib presiden Umno juga memberitahu, ketiga-tiga naib presiden parti itu juga sedang mencongak peluang masing-masing.

Cuma Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang merupakan sepupu Najib, dilihat bersungguh-sungguh mempertahankan Najib, tapi tidak dua lagi naib presiden – Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Bos senyap sahaja, beliau pun pening juga dengan keadaan sekarang," kata salah seorang sumber terdekat kepada dua naib presiden tersebut.

Blogger Umno, Shahbudin Husin berkata, serangan Dr Mahathir tidak akan berhenti, malah beliau sedang mengatur langkah seterusnya.

"Kalau lihat gayanya, Dr Mahathir tidak akan berhenti," katanya semasa ditemui The Malaysian Insider baru-baru ini.

Difahamkan, Dr Mahathir dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa kumpulan pendesak Melayu yang berpengaruh tetapi belum dapat dipastikan sama ada ia bertujuan melobi sokongan atau mempunyai rancangan lain.

Pemimpin Umno ketika ini bimbang dengan akar umbi kerana, walaupun Najib mungkin menerima sokongan kuat ketua bahagian, sokongan dari akar umbi yang menganggap Dr Mahathir "ayahanda" tidak dapat dipastikan.

Bagi penganalisis daripada Merdeka Center, Ibrahim Suffian, serangan Dr Mahathir jika tidak ditangkis bakal merosakkan parti pemerintah tersebut.

Malah, beliau meramalkan perkara lebih buruk bakal menimpa, sebagai contoh, tewas dalam pilihan raya umum akan datang.

"Jika Najib terus bertahan, mungkin Dr Mahathir dilihat tidak berjaya, tapi penjenamaan kepercayaan pengundi kepada BN itu sendiri akan rosak dan susah untuk dipulihkan.

"Bila terus menyerang, serangan ini akan menjadi punca utama kekalahan parti," katanya.

Oleh itu, Ibrahim berkata, Umno perlu mencari jalan perdamaian secepat mungkin kerana banyak isu yang harus mereka jawab dalam mengendalikan rakyat yang masih tidak berpuas hati.

"Isu ini untuk Umno dan BN. Perkara ini perlu diselesaikan segera supaya selepas ini parti dapat mengukuhkan kedudukan mereka, kerana isu yang banyak perlu dihadapi," katanya.

Pemerhati menyifatkan kritikan dan kecaman terbuka terhadap pentadbiran Najib daripada bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu menyamai episod semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi tersungkur pada 2009.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyedari kemampuan Dr Mahathir yang memaksa bapa mertuanya berundur, oleh itu, kali ini beliau dilihat berhati-hati dalam memberi reaksi balas terhadap negarawan tersebut.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .