» » PAKATAN desak Najib Razak lepaskan jawatan menteri kewangan


Ahli Parlimen Kluang (DAP) Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Pokok Sena (PAS) Datuk Mahfuz Omar menggesa Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya sebagai menteri kewangan kerana tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya.

Liew berkata, Malaysia memerlukan seorang menteri kewangan "sepenuh masa" yang dapat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk berdepan dengan cabaran ekonomi yang semakin mencabar dan pengurusan kewangan tidak terkawal.

Beliau berkata, sebagai menteri kewangan, Najib gagal menjalankan peranannya memperkukuhkan ekonomi negara kerana terlalu banyak kerja dan tidak dapat memberikan tumpuan.

"Sebab kerana cabaran ekonomi yang begitu teruk sekarang dan keadaan kewangan tidak terkawal menyebabkan negara memerlukan seorang menteri kewangan sepenuh masa dan bukan dijawat perdana menteri," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mahfuz berkata, apa yang berlaku sekarang ialah terdapat pertindihan tugas dan peranan Najib sebagai menteri kewangan dan perdana menteri.

Mahfuz juga mempersoalkan kemampuan dan keupayaan Najib menjawat jawatan menteri kewangan kerana terdapatnya beberapa isu yang gagal ditangani dengan baik termasuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Kewajaran seorang menteri kewangan tanpa ada pertindihan jawatan turut dibangkitkan Tun Daim Zainuddin baru-baru ini.

Bekas menteri kewangan itu berkata, seorang perdana menteri tidak boleh memegang jawatan menteri kewangan kerana tidak wujud "check dan balance".

‎Beliau berkata, seorang perdana menteri sepatutnya hanya mengetuai Unit Perancang Ekonomi bagi menentukan hala tuju pembangunan ekonomi sesebuah negara.

Pelan perancangan yang dirancang itu kemudian perlu diserahkan kepada menteri kewangan yang bertanggungjawab menjaga kewangan negara.

"Kerja seorang menteri kewangan mencari wang tetapi kalau perdana menteri pegang kedua-dua jawatan itu – merancang dan mencari wang memang payahlah. Ia jadi konflik. Itu yang jadi tidak ada ‘check and balance’.

“Sebab itu dari dulu lagi saya kata perdana menteri dan menteri kewangan mestilah personaliti berbeza,” katanya.

Mahfuz berkata Najib dan seluruh kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk tidak mengenepikan pandangan pemimpin veteren seperti Daim.

"Ini persoalannya dan kritikan bahawa sepatutnya kerajaan, Najib dan seluruh kepimpinan Umno-BN perlu menghargai pandangan seperti Tun Daim, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah.

"Mereka ini adalah yang berpengalaman dan melihat negara tidak terurus dari segi ekonomi dan pandangan ini tidak harus ditolak kerana secara tidak langsung menghormati pemimpin lama," katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .