Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyaki wujudnya unsur rasuah dalam pemberian projek pembinaan lima loji insinerator di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi, Cameron Highlands, Pulau Langkawi dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kos bernilai RM184.74 juta.
Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata PAC "menghidu" perkara ini tetapi menyerahkannya kepada Putrajaya memutuskan tindakan selanjutnya seperti merujuk perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kita menghidu, dan mungkin ada, tapi disebabkan ia tidak jelas, kita mahu kerajaan yang ambil tindakan," katanya pada satu sidang media di Parlimen hari ini.
Isu projek loji insinerator dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada 1 Oktober lalu.
Jazlan berkata, hasil prosiding yang dijalankan sebanyak dua kali iaitu pada 3 Disember, 2013 dan 23 Januari, 2014 PAC mendapati terdapat banyak kelemahan dalam projek tersebut.
Katanya, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan gagal menjalankan tanggungjawab dalam memilih teknologi mengikut cadangan kontraktor syarikat XCN Technology Sdn Bhd (XCNT).
"Kita dapati banyak isu kelemahan dari segi peringkat perancangan teknologi dan pelantikan kontraktor sendiri. Loji insinerator tidak mewakili teknologi terkini, tidak berfungsi dan tidak disiapkan dalam tempoh ditetapkan," katanya.
Beliau berkata, projek insinerator itu tidak layak diberikan kepada kontraktor itu kerana ia tiada rekod yang cukup kuat dalam teknologi tempatan.
Tambahnya, pakar dalam ahli jawatankuasa Penilaian Teknologi Sisa Pepejal Kebangsaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang memperakukan cadangan teknologi itu hanya membuatnya berdasarkan kepada kertas cadangan XCNT.
"Kertas kerja tersebut menyatakan XCNT pernah membina loji insinerator untuk Majlis Perbandaran Terengganu, Perwaja Steel dan projek usaha sama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
"Bagaimanapun, loji insinerator majlis perbandaran itu ditutup pada 1999 dan projek usaha sama dengan UiTM Shah Alam dihentikan pada 2008, manakala tiada maklumat berkenaan tahun bila loji berhenti beroperasi di Perwaja Steel," katanya.
No comments: