» » '1MDB gagal bayar pengambilan hartanah dan ia bukti sedang hadapi masalah kewangan'


DAP hari ini mendakwa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal membayar pengambilan hartanah bernilai RM317 .3 juta dan terpaksa memohon penjadualan semula pinjaman bank bernilai berbilion ringgit.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, kegagalan 1MDB memenuhi obligasi pembiayaan hartanah itu membuktikan mereka berdepan dengan masalah kewangan ekoran daripada jumlah hutang tertunggak sebanyak RM42 bilion.

"Sebagai contoh 1MDB gagal membayar pengambilan hartanah kepada Tadamax Bhd meskipun tempoh pembayaran dipanjangkan

"Malah mereka juga menjadualkan semula pinjaman bank sebanyak RM5.5 bilion membuktikan 1MDB benar berdepan dengan masalah kewangan dan berdepan dengan risiko akibat hutang tertunggak berjumlah RM42 bilion," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Pua berkata, ia bertentangan dengan kenyataan Datuk Ahmad Maslan yang mendakwa 1MDB tidak pernah terlepas membayar obligasi kewangannya.

Katanya berdasarkan penyata kewangan bagi Mac 2014 yang dihantar oleh Suruhanjaya Syarikat minggu lalu, 1MDB dilaporkan memohon menambah tempoh pembayaran pinjaman bernilai RM6.17 bilion bagi enam bulan daripada tarikh akhir 22 November 2013.

"Apabila ia sampai ke tarikh akhir, 1MDB hanya mampu membayar RM670 juta."

Katanya, 1MDB juga dilaporkan terlepas tarikh akhir untuk kali ketiga membayar pengambilan hartanah kepada Tadamax Resources bernilai RM317.3 juta.

"1MDB gagal menjelaskan pembayaran bagi setiap transaksi sebaliknya mengubah tarikh pembayaran daripada 20 Ogos hingga 30 September ke 10 October dan terkini 31 Oktober," katanya.

Semalam Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, 1MDB terus mencatatkan kerugian dan tidak mustahil entiti itu bakal berdepan dengan situasi muflis.

Beliau yang mendedahkan kerugian sebenar 1MDB mendakwa Putrajaya cuba menyembunyikan fakta sebenar dengan perkiraan nilai semula aset entiti itu bagi mengelirukan orang ramai.

Katanya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014, 1MDB mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM665 juta.

Beliau yang juga naib presiden PKR turut mendedahkan angka penilaian aset semula 1MDB ‎pada tahun 2013 dan 2014.

"Bagi tahun 2013, harta-harta dinilai semula mencatatkan peningkatan sebanyak RM2.74 bilion dicatatkan sebagai keuntungan.

"Dan bagi tahun 2014 nilaian semula harta dan aset 1MDB berjumlah RM897 juta," katanya.

Katanya sekiranya 1MDB tidak membuat nilaian semula kerugian pada 2013 di catatkan sebanyak RM1.96 bilion dan bagi 2014 pula ialah RM1.56 bilion.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .