» » 1BestariNet ialah kegagalan besar dan perlu ditangguhkan


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menangguhkan Platform Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) 1BestariNet di semua 10,000 sekolah seluruh negara bagi mengelak wang rakyat terus dibazirkan, kata Zairil Khir Johari.

Ahli Parlimen Bukit Bendera (DAP) itu sebaliknya berkata, berdasarkan laporan Ketua Audit Negara, hanya 351 sekolah bestari menerima latihan khas penggunaan VLE setakat Disember 2013 maka ia perlu diteruskan di sekolah berkenaan sebagai kayu ukur penggunaan sistem itu.

“Maka, sekolah bestari perlu dijadikan sebagai projek perintis bagi mengenal pasti keburukan dan kebaikan 1BestariNet sebelum dilaksanakan kepada 10,000 sekolah.

“Dengan 3,861 guru dan 1,404 murid di sekolah ini sudah dilatih sebagai pengguna dan agen utama, mereka boleh dijadikan mentor memberi tunjuk ajar kepada guru dan murid di sekolah lain.

“Jika 1Bestarinet diteruskan seperti sekarang, tidak syak lagi RM4.1 bilion duit pembayar cukai akan dibazirkan untuk menjana dana satu lagi projek mahal gajah putih,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, laporan Ketua Audit Negara 2013 siri ke 3 mendedahkan, Projek 1BestariNet KPM tidak memenuhi sasaran tempoh dua setengah tahun selain gagal menyediakan VLE kepada 10,000 sekolah di seluruh negara.

Laporan itu mendakwa, projek 1BestariNet dilaksanakan sebelum guru dan pelajar dilatih sepenuhnya mengguna VLE.

"Penggunaan VLE oleh guru, pelajar dan ibu bapa adalah sangat rendah, 0.01% ke 4.69%," dedah laporan berkenaan.

Zairil berkata antara teguran ketua audit negara berhubung projek 1BestariNet adalah kurangnya nilai pengurusan, gagal mendapatkan kelulusan teknikal daripada Mampu dan KPM serta gagal membuat Penilaian Keperluan Sekolah sebelum pemasangan infratruktur.

Katanya, disebabkan penilaian infrastruktur sedia ada tidak dilakukan, 58% daripada 501 sekolah melaporkan 1BestariNet tidak meliputi seluruh kawasan sekolah sebagaimana yang disyaratkan dalam kontrak.

“Malah, 89.1% dari 46 sekolah diuji dan 70.3% dari 491 responden mendakwa purata kelajuan jalur lebar di antara 0.2Mbps ke 3.62Mbps lebih rendah dari apa yang dijanjikan dalam kontrak iaitu 4Mbps ke 20Mbps.

“Lebih mengejutkan, penggunaan 1BestariNet sangat rendah. Walaupun 8,866 sekolah dilengkapi sistem VLE namun Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan statistik penggunaan antara 0.01% ke 4.96%.

“Kadar penggunaan yang rendah ini disebabkan infrastruktur yang tidak cukup untuk menyokong sistem, sambungan Internet yang lambat dan terhad, kurang peranti seperti komputer riba dan projektor serta polisi yang tidak jelas penggunaan VLE,” katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .