Puteri Irene Aliza Md Kamaruzaman berusia 11 tahun ketika bapanya meninggalkan rumah.
Masa yang amat sukar bagi tiga beradik dan ibunya Aida Abdul Ghaffar sejak apa yang ditinggalkan bapa Irene hanya RM50 dan bil utiliti yang berjumlah ribuan ringgit.
Lebih mengeruhkan keadaan, abang Irene baru diterima masuk ke sebuah kolej bagi meneruskan pengajian.
"Ia masa yang sukar. Saya terpaksa meminta derma kerana saya memerlukan RM300 bagi membayar yuran pendaftaran anak saya. Tiga lagi anak saya, termasuk Irene dan anak bongsu memerlukan pemerhatian khas. Saya tidak boleh bekerja kerana menderita sakit peparu," kata Aida, 47, yang menderita penyakit berkenaan sejak 13 tahun lalu.
Mengenangkan kesakitan yang dialami dan masa depan dua orang anaknya, Aida perlu mencari jalan untuk menyara keluarganya.
Tidak lama selepas itu, dia mendapat tahu mengenai Tabung Amanah Harinder Veriah (HVT) daripada Irene.
HVT ditubuhkan untuk mengenang wanita Malaysia berbakat Harinder Kaur Veriah yang meninggal dunia pada usia 33 tahun.
HVT menyediakan bantuan kewangan dan pendidikan untuk kanak-kanak miskin menerusi sekolah rendah dan sekolah menengah Assunta bagi membolehkan mereka mendapat peluang dalam kehidupan.
"Pada satu hari dia pulang ke sekolah dan berkata 'mak, ada satu organisasi membantu pelajar miskin'. Saya berkata akan mencari maklumat lanjut dan melihat sama ada kita boleh mendapatkan bantuan," kata Aida.
Walaupun sakit, Aida tetap berusaha sedaya upaya. Dia bertanyakan guru untuk memohon bantuan HVT.
"Saya miskin, tetapi masih berupaya untuk bercakap dan berjalan walaupun saya tidak dapat bekerja. Selagi saya masih hidup, saya melakukan yang terbaik untuk mencari bantuan supaya anak-anak saya mendapat pendidikan terbaik. Bantuan ada, saya cuma perlu mencari. Dengan segala kudrat, saya mendapatkan HVT.
"Mereka panggil saya untuk temuduga. Kira-kira lapan orang mengajukan soalan kepada saya. Saya ceritakan kepada mereka kepayahan yang saya hadapi dan sebelum sesi persekolahan bermula mereka memberitahu Irene diterima sebagai salah seorang peserta," kata Aida.
Ia satu kelegaan besar baginya. Bantuan HVT meliputi hampir semua perbelanjaan sekolah Irene. Ia meliputi yuran sekolah dan bantuan tuisyen yang membantu Irene mendapat 4A dan 1B dalam UPSR tahun lalu.
"Sesetengah berpandangan bantuan itu tidak cukup, tetapi ia mencukupi bagi saya dan keluarga. Saya hanya perlu mencari tambang bas sekolah yang boleh dibayar secara ansuran. Saya hanya mampu memberi Irene RM1 untuk duit poket. Ia cukup baginya membeli makan tengahari atau sarapan.
"Dengan bantuan yang diperoleh, saya tak perlu terlalu bimbang mengenai Irene sama ada yuran, baju sekolah dan peralatan sekolah lain," kata Aida yang kini tinggal di flat kos rendah Pantai Permai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Bantuan HVT meliputi perbelanjaan sekolah Irene untuk dua tahun dan pertubuhan itu masih kekal berhubung dengannya sehingga kini.
"Mereka di HVT tidak melupakan saya dan keluarga. Keluhuran hati mereka banyak membantu saya. Mereka meringankan beban saya dalam membantu pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak," kata Aida yang kini menyara kehidupannya dengan bantuan kewangan RM650 dari Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Dua anak Aida kini melanjutkan pengajiannya di kolej tempatan dengan salah seorang daripadanya mendapat biasiswa penuh pelajar dan seorang lagi masih bergantung kepadanya.
"Saya bersyukur dikurniakan anak yang sentiasa mahu memperbaiki diri. Saya tidak perlu risaukan anak kedua saya, tetapi anak yang sulung saya berikan RM10 setiap tiga hari.
"Kami tidak makan mewah, tetapi saya sentiasa pastikan kami tidak berlapar. Saya tak katakan ia mudah tetapi seiring masa berlalu, kami laluinya," katanya.
Bagi Irene, kemiskinan bukanlah alasan untuk tidak berusaha keras dalam pelajaran. Malah ketika dia dimasukkan ke hospital beberapa kali kerana Lupus, penyakit buah pinggang dan kompilasi lain, Irene tetap berusaha mengulangi pelajaran.
"Sebelum saya mendapat bantuan, segalanya sukar. Kami selalu lewat membayar yuran dan barangan persekolahan saya selalu tidak lengkap," kata pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Assunta.
Selepas mendapat keputusan yang baik dalam UPSR, Aida memasukkan Irene ke salah sebuah sekolah bestari di Kuala Lumpur yang menyediakan hostel untuk pelajar.
Namun penginapannya di hostel tidak lama kerana terpaksa dipindahkan akibat masalah kesihatan.
"Ia menyedihkan, tetapi HVT sekali lagi membantu saya. Kakitangannya membantu anak saya mendapatkan tempat di Assunta. Saya terhutang budi atas usaha gigih mereka membantu keluarga miskin seperti kami," kata Aida.
Irene mahu menjadi ahli psikologi suatu hari nanti. Dia mahu mempelajari bagaimana otak berfungsi. Dia juga sukakan Sains.
"Saya mahu ibu dan HVT berasa bangga. Apabila saya berjaya nanti, saya tidak akan lupa asal usul saya," katanya.
Irene merupakan salah seorang penerima bantuan HVT. Pada tahun lalu, agensi berkenaan membantu 20 murid sekolah rendah Assunta dan tahun ini bilangannya meningkat kepada 40 murid.
sumber
No comments: