» » 'Harap kerajaan pelbagaikan insentif kurangkan beban rakyat'


Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan terus memperkasakan usaha dalam menggalak sektor swasta mewujudkan taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja bagi membolehkan ibu berkerjaya menghantar anak-anak mereka.

Setiausaha Agungnya N Gopal Krishnan berkata usaha seumpama itu pernah dilaksanakan terhadap sektor swasta sebelum ini namun sambutannya tidak konsisten.

"Perlu difikirkan bahawa dalam jangka masa panjang, ia sebenarnya membolehkan wanita (dalam sektor swasta) terus bekerja membantu keluarga tanpa perlu meletak jawatan setelah mempunyai anak.

"Ia juga adalah langkah untuk membolehkan wanita mempunyai pendapatan sendiri selain daripada suami.

"Wang bulanan yang sepatutnya diperuntuk untuk membayar pusat asuhan kanak-kanak atau pembantu rumah boleh disimpan dan diguna untuk perkara lain sebagai menghadapi kenaikan kos sara hidup ketika ini," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas mengenai Bajet 2015 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Jumaat ini.

Gopal berkata bagi menarik minat syarikat swasta, kerajaan pada pembentangan Bajet 2013 memberikan pelbagai insentif termasuk geran RM10,000 dan potongan cukai sebanyak 10% kepada mana-mana syarikat swasta yang ingin mendirikan taska berkenaan.

Bagaimanapun, ia kurang dimanfaatkan dan oleh itu dalam Bajet kali ini beliau berharap insentif tersebut dapat ditambah baik bagi memastikan lebih banyak taska mampu direalisasikan.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Dr Marimuthu Nadason mencadangkan agar skim pemakanan diwujudkan bagi membantu golongan memerlukan.

Beliau berkata golongan sasaran adalah mereka yang berpendapatan rendah dan tinggal di bandar yang dihimpit kos sara hidup tinggi.

"Contohnya kerajaan boleh bagi baucar makanan RM5 untuk makan tengah hari di kedai-kedai makan terpilih. Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan mereka," katanya.

Mengulas pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Marimuthu berkata bantuan demikian perlu diteruskan, namun perlu disalurkan kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan.

Beliau bagaimanapun berkata, BR1M hanya bertahan untuk jangka masa pendek, oleh itu rakyat diharap tidak terlalu bergantung kepadanya dan lebih kreatif untuk tingkatkan ekonomi keluarga.

Mengulas Bajet 2015 secara keseluruhan, Marimuthu berkata kerajaan juga perlu mempertingkat taraf pengangkutan awam yang menjadi keperluan asas kepada rakyat, terutama golongan sederhana.

"Rakyat terpaksa membeli kereta kerana kita tidak mempunyai pengangkutan awam yang mampan. Beli kereta pula, kita kena isi minyak, yang dah naik harga, beli insurans, cukai jalan dan kos penyelenggaraan lagi...," katanya.

Oleh itu, beliau menasihati orang ramai, terutama penduduk bandar yang menerima kesan kenaikan kos sara hidup, supaya berbelanja secara berhemah dan bijak menguruskan kewangan masing-masing.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .