» » Adakah penjawat awam perlukan bonus dalam Bajet 2015?


Bonus untuk penjawat awam diumumkan dalam belanjawan tahunan Malaysia saban tahun diakui memberikan kegembiraan kepada sektor awam, namun ianya membangkitkan persoalan: adakah jentera kerajaan itu perlu dikecilkan?

Sekiranya bonus ganjaran untuk tugas yang baik, adakah penjawat awam keseluruhannya melaksanakan tugas mereka dengan baik? Tidakkah lebih baik dana awam disalurkan kepada infrastruktur, tekonologi dan penyelidikan? Dan adakah 1.5 juta penjawat awam benar-benar terlebih ramai seperti yang diperkatakan?

Melalui temubual eksklusif bersama pakar ekonomi, penjawat awam dan pesara, The Malaysian Insider mendapati persoalan yang lebih penting bukan berapa ramai, tetapi bahagian mana yang perlu dikecilkan, dan sama ada rakyat bersedia atau tidak menghadapi akibat daripada sektor awam yang lebih kecil.

Lebih operasi, kurangnya pembangunan

Segalanya boleh ditunjukkan melalui angka. Semakin banyak dana awam digunakan untuk menguruskan perkhidmatan dan jentera kerajaan berbanding pembangunannya.

Menurut pakar ekonomi dari Universiti Malaya, Dr Lee Hwok Aun, Malaysia membelanjakan 33% daripada belanjawan tahunan untuk pembangunan sejak sedekad lalu. Namun, hari ini perbelanjaan pembangunan hanya meliputi sekitar 20%.

Angka 33% itu antara 1998 hingga 2001, sebelum jatuh ke 26% antara 2002 hingga 2008 dan terus menurun ke 23% (2009-2011), dan akhirnya, 20% (2012-2014).

"Perbelanjaan bagi pembangunan infrastruktur, kapasiti dan teknologi semakin berkurang saban tahun."

Sejak tiga tahun lalu, jumlah yang dibelanjakan bagi gaji penjawat awam menyamai dan kemudiannya menjadi lebih besar daripada jumlah untuk pembangunan, menurut dokumen Kementerian Kewangan.

Pada 2012, sejumlah RM52 bilion digunakan untuk gaji dan pendapatan penjawat awam atau "emolumen" berbanding RM51.2 bilion yang digunakan untuk pembangunan. Jumlahnya membentuk 22% daripada keseluruhan belanjawan negara.

Pada 2013, sejumlah RM58.6 bilion atau 23% daripada belanjawan digunakan untuk membayar emolumen dengan hanya RM49.7 bilion digunakan bagi pembangunan.

Jumlah emolumen kemudiannya meningkat kepada RM63.6 bilion pada 2014 atau 24% daripada belanjawan. Manakala dana pembangunan mengecil kepada hanya RM46.5 bilion.

Pertambahan pembayaran emolumen dilihat selari dengan pertambahan jumlah penjawat dalam sektor awam.

Menurut Lee, daripada 2004 hingga 2012, kadar penggajian pekerja sektor awam daripada keseluruhan penggajian, meningkat daripada 9.86% kepada 10.04%.

"Sepanjang tempoh ini, anggaran saya menunjukkan kadar penggajian penjawat awam meningkat sebanyak 3.31% setiap tahun, manakala kadar penggajian sektor swasta meningkat 3.05% setahun.

Perkhidmatan awam atau swasta?

Jadi, adakah jumlah tenaga kerja sudah menjadi terlebih besar?

Pemilik gerai makananan, Zainal Ahmad dari Shah Alam merasakan begitu. Semasa pergi ke satu pejabat agensi kerajaan baru-baru ini, beliau jadi marah kerana terpaksa menunggu untuk dilayan di kaunter perkhidmatan.

"Ada lima kaunter, tetapi saya lihat mereka semua sedang menonton televisyen dalam pejabat. Tiada yang menguruskan kaunter. Saya terpaksa memanggil mereka untuk melayan saya. Saya sangat kecewa.

"Adakah ini yang rakyat bayar? Untuk mereka menonton televisyen?"

Pengalamannya itu bukanlah perkara yang unik.

The Malaysian Insider menyaksikan jabatan kerajaan yang membenarkan kakitangan mereka membawa televisyen mereka sendiri untuk menonton drama pada waktu siang.

Bagaimanapun tidak diketahui jelas bagaimana perkara sedemikian dibenarkan dalam jabatan berkenaan oleh pengurusan atasan.

Penjawat awam juga akan mempertahankan yang jumlah jentera adalah perlu untuk populasi rakyat Malaysia.

"Ada 28 juta rakyat Malaysia, tidak termasuk warga asing yang mungkin lebih kurang sejuta jumlahnya," kata seorang penjawat awam di Selangor.

"Perlu ada yang menjaga keselamatan, mempertahankan tanah air, menguruskan pentadbiran negara dan mengutip cukai."

Malah, Ceupacs, kumpulan pejuang penjawat awam berkata majoriti penjawat awam adalah mereka yang membekalkan perkhidmatan yang diperlukan masyarakat.

Kumpulan terbesar, kata Presiden Ceupacs Azih Muda, ialah golongan pendidik, yang membentuk sejumlah 440,000, diikuti jururawat 270,000 dan anggota polis, 110,000.

"Jika perkhidmatan seperti ini dikecilkan, kita terpaksa menggunakan perkhidmatan sektor swasta," kata Azih.

"Ini bermakna lebih banyak yang perlu dibayar untuk sekolah, hospital dan kawalan keselamatan swasta."

Bekas penjawat awam, Tan Sri Ramon Navaratnam merasakan, ia bukanlah perkara buruk terutamanya apabila membabitkan pendidikan.

Ini kerana, katanya, sekolah dan universiti kerajaan di Malaysia, memang menyediakan pendidikan yang bertaraf sub standard, tetapi bidang pendidikan tetap menerima 20% daripada peruntukan belanjawan negara.

"Rakyat Malaysia dilihat tidak mendapat nilai untuk wang mereka dalam bidang pendidikan," katanya.

"Kenapa tidak benarkan sahaja lebih banyak sekolah swasta dibina? Kekalkan sekolah kerajaan untuk kumpulan berpendapatan rendah, namun dengan kecilnya bilangan sekolah kerajaan, lebih banyak dana boleh dikurangkan untuk pendidikan dalam bajet negara."

Meskipun dengan pemotongan perbelanjaan pendidikan, trajektori ekonomi Malaysia masih lagi memerlukan perkhidmatan awam yang cukup besar.

Lee berkata memandangkan Malaysia mahu menjadi negara dengan ekonomi berasaskan perkhidmatan, ia memerlukan jumlah penjawat awam yang besar.

Malah ada yang berpendapat jumlah penjawat awam di Malaysia tidak terlalu besar.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata, anggapan sedemikian timbul disebabkan cara negara ini mendefinasikan kakitangan kerajaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) itu dilaporkan berkata kepada The Star pada Januari, Malaysia meletakkan kumpulan seperti guru, doktor, dan kakitangan sokongan termasuk anggota pasukan keselamatan sebagai penjawat awam.

Namun, negara maju seperti United Kingdom dan Australia tidak berbuat sedemikian.

Akhirnya, yang lebih penting ialah satu penilaian yang jujur dalam melihat peranan penjawat awam.

"Trek rekod kadar pertumbuhan penggajian pekerja Malaysia perlu dikaji secara kritikal, dan data lengkap diedarkan kepada umum, bersama satu penilaian kecekapan kerajaan yang tegas tanpa kompromi."

Laporan sedemikian mungkin kunci untuk mendapatkan perkhidmatan yang cukup baik untuk menguruskan keperluan rakyat tanpa mengakibatkan penggunaan dana yang begitu besar.

Menjelang pembentangan Bajet 2015 pada 10 Oktober ini, jaminan yang akan diberi perdana menteri yang juga menteri kewangan dalam usaha meningkatkan kecekapan kerajaan akan menentukan sama ada beliau akan mendapat lebih cemuhan atau sorakan apabila mengumumkan bonus untuk penjawat awam. .

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .