Pelakon berusia 29 tahun ini mempelajari loghat Utara bukanlah kerana untuk mendekati lebih dekat mengenai lelaki yang sering digosipkan dengannya itu, tetapi ia adalah untuk menghayati lakonannya yang terbaru.
“Sebenarnya bagus juga ada Fadzil sebab baru-baru ini, saya ada melakonkan watak yang memerlukan saya untuk bertutur dalam loghat Utara. Jadi saya gunakan khidmat dia sebagai guru bahasa saya. Dia memang sangat berguna untuk saya,” katanya .
Menurut Yana, dia ada menyuruh Fadzil bertutur seperti orang KL kerana jejaka yang juga adik kepada pelakon Farid Kamil itu mempunyai loghat utara yang agak pekat.
“Fadzil kalau bercakap, kita boleh dengar loghat utara dia. Saya ada juga memaksa dia bercakap seperti orang KL. Walaupun saya ni orang Johor, tapi saya paksa juga dia cakap KL,” katanya sambil menjeling manja kepada Fadzil.
Fadzil sering dilihat hadir ke majlis bersama Yana Samsudin. Ramai yang mengaggap mereka adalah pasangan kekasih, namun Yana menolak dakwaan tersebut. Pelakon berusia 29 tahun ini lebih selesa meletakkan hubungan mereka sebagai teman rapat yang telah dibina sejak empat tahun.
“Memang kami dilihat sering bersama di majlis dan ia adalah salah satu projek yang dia uruskan. Fadzil pun merupakan pengurus saya jadi sebab itulah kami sentiasa bersama,” tuturnya.
Selain Yana, Fadzil juga menguruskan pelakon-pelakon seperti Diana Danielle, Shahrul Ridzuan, Syatilla Melvin dan Mya Ahmad.
Walaupun perhubungan mereka seperti dirahsiakan, Yana tetap menegaskan bahawa dirinya masih solo selagi dia tidak dilamar lelaki. Meskipun begitu, Fadzil pernah memberitahu bahawa dia tidak menolak sekiranya di jodohkan dengan Yana.
Yana turut memberitahu bahawa dia sering diajukan soalan yang sama mengenai perkahwinan dan hubungannya dengan Fadzil. Biarpun dia berasa agak penat untuk menjawabnya, dia tetap akur dan hormat dengan setiap soalan yang diajukan oleh orang ramai mahupun pihak media.
Dalam perkembangan lain, Yana bersama Izzue Islam telah dilantik sebagai duta produk minuman kopi terkenal, SUPER selama tiga tahun.
“Alhamdullilah ini adalah rezeki saya dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak SUPER yang memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada saya.
“Ini adalah kali pertama saya menjadi duta. Ia merupakan pengalaman yang bermakna bagi saya kerana berpeluang berlakon di kilang pembuatan kopi SUPER di Johor yang juga tempat kelahiran saya.
“Bukan calang-calang orang boleh masuk ke kilang tersebut. Hanya orang tertentu sahaja yang boleh masuk kerana peraturannya sangat ketat. Nak ambil gambar pun tak boleh,” kata Yana.
Filem pendek yang dilakonkan oleh Yana dan Izzue Islam adalah bertujuan untuk mempromosikan produk minuman kopi SUPER. Filem pendek berjudul The Secret To A Smile itu berdurasi selama 18 minit dan ianya boleh ditonton di laman YouTube.
sumber
No comments: