Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu melakukan siasatan mengapa pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) masih gagal ditempatkan dalam universiti awam, kata Teresa Kok.
Naib Presiden DAP itu berkata semalam media melaporkan pelajar cemerlang STPM dari Hutan Melintang, Perak gagal ditawarkan kursus farmasi di Universiti Sains Malaysia walaupun menerima tawaran kursus sama dari Universiti Monash, Australia.
“Pelajar berkenaan mendapat 9A+ dalam SPM dan 4A dalam STPM namun hanya ditawarkan kursus bioteknologi.
“Dalam ranking Universiti Dunia QS 2014, Universiti Monash berada di kedudukan ke-8 dalam bidang farmasi dan farmakologi.
“Ia melucukan apabila pelajar cemerlang STPM ditawarkan program di universiti yang diiktiraf dunia tetapi hanya ditawarkan kursus bioteknologi di universiti tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, PKR melancarkan sebuah portal aduan dalam usaha membantu pelajar yang layak namun tidak mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata portal itu bertujuan memantau proses kemasukan dan menjadi perantara kepada KPM untuk menjelaskan butiran terperinci dan syarat piawaian untuk memohon ke universiti awam.
Katanya, pelajar yang tidak berpuas hati dengan sistem Unit Pusat Universiti (UPU) boleh menghantar aduan kepada portal Aduan Pengajian Tinggi dan Rayuan Ke IPTA (HEAP) di alamat https:/heap.keadilanrakyat.org.
"Pada tahun ini bagi sesi 2014/2015, 74,071 pelajar memohon dan 67,388 daripadanya layak. Tetapi, hanya 37,647 (56%) yang diterima," katanya.
Kok berkata seorang lagi pelajar cemerlang STPM dari Klang, Ng Li Ying turut gagal mendapat kursus pilihan di IPTA walaupun mendapat semua A dalam peperiksaan.
Katanya, Ng memohon kursus perubatan, pergigian atau farmasi namun hanya diberikan kursus kejururawatan.
“Walaupun banyak aduan pernah dikemukakan sebelum ini mengenai pelajar cemerlang gagal mendapat kursus pilihan, namun masalah ini masih berulang.
“Dengan semua A dalam keputusan STPM, Ng dengan mudah layak mengikuti kursus perubatan di universiti swasta namun keluarganya kurang berkemampuan.
“Tidak dapat dinafikan, tuduhan dan syak sebelum ini berlaku pemilihan yang tidak adil apabila aduan seperti ini dibangkitkan semula,” katanya.
No comments: